Teknologi mikrob penting dalam pertanian regeneratif
SERDANG - Teknologi mikrob seperti biobaja, biostimulan, biopestisid dan sistem tanaman mesra alam memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat pertanian regeneratif, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Beliau berkata, pertanian regeneratif telah diterima pakai di seluruh dunia sebagai pendekatan pertanian yang antaranya untuk meningkatkan kesihatan dan kesuburan tanah, meningkatkan biodiversiti ekosistem, menghasilkan makanan padat nutrien, dan membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.
Nik Muhammad Zawawi berkata, penggunaan teknologi mikrob membantu dalam pengurangan penggunaan racun perosak, meningkatkan keselamatan makanan serta daya tahan tumbuhan terhadap tekanan alam sekitar yang disebabkan oleh pemanasan global.
"Memahami komuniti mikroorganisma yang terdapat dalam sistem pertanian, dan cara memanfaatkannya sebagai alat untuk intensifikasi pertanian yang mampan akan mengubah pertanian menjadi berdaya tahan serta menghadapi cabaran penjaminan ketersediaan dan keselamatan makanan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan the Seventh Asian PGPR International Conference for Sustainable Agriculture 2022 di sini pada Rabu.
Seminar empat hari yang bermula semalam, dihadiri 116 peserta tempatan dan luar negara antaranya dari India, Indonesia, Pakistan, Australia, Belanda dan Kanada. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!