Pandemik ganggu usaha basmi kemiskinan di Asia, Pasifik

Pandemik Covid-19 telah mengganggu trend pembasmian kemiskinan di Asia dan Pasifik. - Foto hiasan
Pandemik Covid-19 telah mengganggu trend pembasmian kemiskinan di Asia dan Pasifik. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pandemik Covid-19 telah membantutkan usaha membasmi kemiskinan di Asia dan Pasifik sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun, dan ramai orang di rantau ini mungkin berasa lebih sukar untuk keluar daripada kemiskinan berbanding sebelum ini, menurut laporan dari Bank Pembangunan Asia (ADB).

Menurut laporan Key Indicators for Asia and Pacific 2022 yang dikeluarkan pada Rabu, pertumbuhan ekonomi rantau ini bagi 2022 dijangka dapat mengurangkan kemiskinan tegar ditakrifkan sebagai berpendapatan kurang daripada AS$1.90 sehari kepada tahap yang sepatutnya dicapai pada 2020 sekiranya pandemik itu tidak berlaku.

"Ekoran kekurangan data yang tersedia, adalah mencabar untuk menjangkakan sama ada pandemik Covid-19 mungkin telah membentuk semula mobiliti sosial. Bagaimanapun, simulasi data menunjukkan bahawa masyarakat yang mempunyai tahap mobiliti sosial keupayaan untuk keluar daripada kemiskinan yang lebih rendah di rantau ini mungkin mengalami kemelaratan berpanjangan,” tambahnya.

Laporan itu menekankan bahawa krisis Covid-19 telah mengganggu trend pembasmian kemiskinan di Asia dan Pasifik.

Walaupun ekonomi di rantau ini semakin pulih, kemajuan yang dicapai adalah tidak sekata kerana pandemik juga mungkin telah memburukkan lagi bentuk kemiskinan berbanding pendapatan seperti ketakjaminan makanan dan akses tidak mencukupi kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, menurut laporan itu.

Laporan itu menambah bahawa dalam kalangan ekonomi Asia yang sedang membangun dengan data yang tersedia, kira-kira 69 peratus mempunyai pengagihan prospek ekonomi yang kurang saksama berbanding tahap ketaksamaan pendapatan sebelum Covid-19 menular.

Ini menunjukkan walaupun sebelum pandemik berlaku, saiz jurang jangka panjang antara golongan miskin dengan tidak miskin adalah lebih besar daripada tahap ketaksamaan pendapatan yang ditunjukkan di banyak bahagian di rantau ini, jelas laporan itu.

Ketua Ahli Ekonomi ADB, Albert Park berkata, golongan miskin dan rentan adalah kumpulan yang paling terjejas teruk akibat kesan Covid-19, dan ketika ekonomi semakin pulih, ramai yang mungkin mendapati bahawa keluar daripada kemiskinan adalah lebih sukar berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan di rantau ini perlu memberi tumpuan kepada daya tahan, inovasi dan keterangkuman untuk menyediakan peluang ekonomi yang lebih seimbang dan mobiliti sosial yang lebih besar kepada setiap orang,” katanya.

Menurut laporan itu, menjelang 2030, kemiskinan tegar yang berleluasa di rantau ini dijangka berkurangan di bawah satu peratus dan pada masa sama, kira-kira 25 peratus daripada penduduk diunjurkan mencapai sekurang-kurangnya status kelas pertengahan, ditakrifkan sebagai mempunyai pendapatan atau penggunaan sebanyak AS$15 atau lebih dalam sehari, dilaraskan untuk kesetaraan kuasa beli.

"Bagaimanapun, unjuran ini diancam oleh perbezaan mobiliti sosial serta ketidaktentuan lain. Asia yang membangun menghadapi kemungkinan stagflasi, konflik berterusan yang melibatkan pihak global utama, peningkatan ketakjaminan makanan dan kejutan harga tenaga,” tambah laporan itu.

Stagflasi adalah keadaan inflasi tinggi yang berterusan digabungkan dengan pengangguran yang tinggi dan permintaan tidak stabil dalam ekonomi sesebuah negara.

Menurut laporan itu, dengan mengandaikan bahawa masyarakat yang mempunyai tahap mobiliti sosial yang lebih tinggi sebelum pandemik Covid-19 berlaku boleh dengan lebih mudah kembali kepada laluan pengurangan kemiskinan mereka yang dahulu memandangkan pandemik itu mungkin mempunyai akibat jangka panjang yang belum diketahui.

"Contohnya, kesan penuh kehilangan pembelajaran disebabkan oleh penutupan sekolah terhadap pendapatan seumur hidup masa depan dan prospek mobiliti sosial mungkin tidak diketahui untuk beberapa dekad,” jelas laporan itu.

ADB komited untuk merealisasikan Asia dan Pasifik yang makmur, inklusif dan mampan di samping mengekalkan usahanya untuk membasmi kemiskinan tegar.

Bank itu ditubuhkan pada 1966 dan dimiliki oleh 68 ahli dengan 49 ahli dari rantau Asia dan Pasifik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!