Perkukuh, transformasi institusi elak perpecahan kaum: G25

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan bekas penjawat awam (G25) Malaysia berpandangan bahawa kaedah terbaik bagi mengatasi unsur perpecahan kaum yang boleh mengancam keamanan negara adalah dengan mengukuhkan dan mentransformasikan institusi.

G25 dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sistem pentadbiran harus telus, berintegriti dan bertanggungjawab berlandaskan prinsip-prinsip di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan agar ia berfungsi memelihara hak-hak serta kebebasan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan jantina.

“Dalam mengukuhkan ekonomi untuk kemakmuran, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi keharmonian kepelbagaian kaum, budaya dan dinamisme yang mampu melonjakkan taraf negara kepada sebuah negara maju dalam masa yang terdekat.

“Sungguhpun begitu, kita tidak boleh ambil mudah dengan kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai, sebaliknya perlu berwaspada dengan segelintir mereka yang mahu memecahbelahkan perpaduan kaum yang telah dibina sekian lama.

“Justeru, kami di G25 yakin cara terbaik untuk mengatasi unsur perpecahan kaum adalah dengan mengukuhkan dan mentransformasikan institusi-institusi bagi meningkatkan mutu pentadbiran sistem demokrasi, undang-undang dan pemerintahan negara,” katanya sempena Hari Kemerdekaan ke-65 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

Kumpulan itu berkata, dengan adanya transformasi itu juga, ia dapat melihat perkembangan dan kemajuan dalam menangani isu-isu keadilan serta kebebasan sivil termasuk isu diskriminasi terhadap kaum, agama dan jantina.

Tambahnya, pada pilihan raya akan datang, akan muncul calon yang menyuarakan isu mentransformasikan institusi dalam kempen mereka daripada membahaskan isu-isu sumbangan calon itu di daerah pemilihan mereka.

“Kini, lebih ramai golongan belia yang berkelayakan untuk mengundi. Mereka ini lebih berminat dengan isu pendidikan, latihan dan peluang-peluang pekerjaan untuk meningkatkan daya diri dalam sektor ekonomi moden serta peringkat global.

Artikel Berkaitan:

“Mereka lah aset terbesar yang berdaya menyumbang untuk menyemarakkan sebuah negara yang bersatu,” jelas mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!