PRU15: Ahmad Samsuri serah kepimpinan parti tentu kedudukan

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima apa jua keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan kedudukannya sama ada kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Jelas beliau, semua keputusan yang dibuat kepimpinan Pas akan diterima sepenuh hati walau dalam apa juga keadaan.

"Sebagai ahli parti, saya menyerahkan apa jua keputusan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan (bertanding DUN atau Parlimen) kerana ia merupakan keputusan yang hanya boleh dibuat di peringkat parti dan bukannya individu.

"Ia juga termasuk keputusan sama ada mengekalkan calon bagi satu-satu kerusi sama ada dikekalkan milik penyandang sedia ada atau individu lain. Kita serahkan sahaja kepada parti (untuk menilai)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan wang pendahuluan diri dan bantuan persediaan penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Luar Negara Tahun 2022 Yayasan Terengganu di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata, pelbagai aspek serta kriteria akan diambil kira sebelum menamakan seseorang calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

Kata beliau, apa yang pasti, setiap keputusan perlu membawa kebaikan kepada negara melalui politik matang dan sejahtera.

Justeru, katanya, persoalan mengenai calon yang bertanding juga amat dinamik kerana selagi belum tiba hari penamaan calon, ia masih boleh berubah-ubah.

"Walaupun kita kata dah selesai, tapi akan masih ada perkara-perkara kecil yang belum selesai, malah malam sebelum hari penamaan pun ada kalanya tak selesai lagi.

Artikel Berkaitan:

"Namun, dengan iltizam kita, lihat pada 'milestone' sekarang, ia akan selesai mengikut jangka waktunya dan hanya akan betul-betul muktamad selepas tempoh penamaan selesai," katanya.

Pada PRU14 yang lalu, Ahmad Samsuri yang bertanding di DUN Rhu Rendang menang dengan majoriti 6,028 di kerusi mengalahkan calon BN, Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi.

Nama Menteri Besar Terengganu itu kini disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!