Jambatan baharu Sungai Liau, Keningau dijangka siap 2024
KOTA KINABALU - Projek pembinaan jambatan baharu Sungai Liau di Kilometer 117.1 Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom bernilai RM7.2 juta telah mula dilaksanakan dan dijangka siap pada Februari 2024, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, kerja awalan pembinaan jambatan kekal sepanjang 30 meter itu telah dilaksanakan dan berdasarkan perancangan kerja pihak kontraktor, jentera akan mula masuk ke tapak pembinaan pada awal September ini.
"Kerja-kerja fizikal di tapak dijangka lebih rancak dalam usaha untuk memastikan projek pembinaan jambatan tersebut siap dalam tempoh yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, pembinaan Jambatan Sungai Liau mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Keluarga Malaysia di Sabah dapat menikmati ketersambungan perhubungan darat yang selesa dan selamat.
"Sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, saya bersama-sama agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memberikan komitmen untuk sentiasa memantau kemajuan kerja dari semasa ke semasa.
"Adalah menjadi harapan saya agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan jangka masa yang telah ditetapkan agar isu dan permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diatasi sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh pembinaan, Jambatan Bailey sedia ada akan dikekalkan sebagai jalan alternatif bagi memastikan perhubungan darat antara daerah Keningau dan Tenom tidak terputus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!