Segera bina SJKT Ladang Jeram baharu: Saifuddin
KUANTAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menyegerakan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di tapak baharu yang telah disediakan di sini.
Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pembinaan sekolah itu telah diluluskan dan kerja tanah di lokasi baharu tidak jauh dari tapak asal juga telah selesai.
Menurutnya, berdasarkan jadual awal, sekolah itu sepatutnya disiapkan tahun 2018 namun sehingga kini pembinaan struktur bangunan belum dimulakan ekoran masalah kontraktor.
"Kita minta pihak kementerian membuat keputusan segera supaya projek pembinaan sekolah ini dapat dilaksana memandangkan sekolah sedia ada berada atas tanah milik sebuah syarikat pemaju.
"Saya difahamkan pihak pemaju sudah ada perancangan untuk membangunkan tapak ini dan ia perlu dikosongkan jika diarah berbuat demikian kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke sekolah itu di sini pada Rabu.
Saifuddin berkata, setakat ini pihak pemaju belum meletakkan satu tempoh tertentu untuk kawasan itu dikosongkan namun pihak sekolah perlu bersedia.
"Masalah akan timbul sekiranya tapak ini diarah dikosongkan sedangkan sekolah baharu tidak disiapkan.
"Sebagai Ahli Parlimen, saya akan membantu pihak-pihak berkaitan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan," katanya.
Saifuddin berkata, antara langkah akan diambil termasuk berhubung dengan pemaju untuk dapatkan kebenaran supaya sekolah itu dapat terus beroperasi di tapak sedia ada sementara menunggu sekolah baharu disiapkan.
"Selain itu, tindakan susulan akan dilakukan dengan pihak kementerian dan pihak-pihak berkaitan supaya pembangunan sekolah ini diteliti dan disegerakan," jelas beliau.
Pada lawatan itu,Saifuddin berpuas hati dengan penambahbaikkan dilakukan di sekolah itu berbanding keadaannya beberapa tahun lalu termasuk ruang kelas sudah dilengkapi pendingin hawa untuk keselesaan murid.
"Ketika ini SJKT Ladang Jeram mempunyai 46 pelajar dengan 10 guru dan seorang pembantu tadbir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!