Hukuman Najib, peringatan kepada pimpinan kerajaan

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan seleweng dana bernilai puluhan juta ringgit harus dijadikan peringatan kepada semua pemimpin kerajaan di negara ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemimpin sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan perlu berhati-hati dalam melaksanakan tugas mentadbir negeri dan negara.

Menurutnya, walaupun sesuatu itu dilakukan dengan tujuan yang baik, namun cara dan proses juga perlu dipastikan tidak menyalahi undang-undang.

“Iktibar yang boleh kita belajar iaitu boleh jadi sesuatu dilakukan dengan niat yang baik, tetapi kalau cara tidak betul dan menyalahi undang-undang maka boleh menimbulkan masalah serta impak negatif.

“Ini satu peringatan kepada kami sendiri sebagai pentadbir, penjawat awam dan pemegang jawatan dalam kerajaan supaya berhati-hati, mematuhi peraturan-peraturan serta prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Ketika mengulas impak hukuman itu terhadap persekitaran politik negara terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd Amar berkata, tidak dapat dipastikan kesan yang berlaku kerana perkara itu sukar untuk diukur.

“Tidak pasti kesan terhadap politik negara akibat hukuman ini sebab susah nak diukur kerana keadaan politik melibatkan pelbagai isu dan bukan kes Najib sahaja.

“Keadaan juga bergantung pada perspektif individu yang melihat daripada sudut pandangan masing-masing. Itu yang kita lihat, jadi nak kata pun tak boleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu masih mahu mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden yang disebut-sebut bakal berundur diri untuk memberi laluan kepada calon baharu pada PRU15 atas faktor kesihatannya.

“Itu hak peribadi beliau sama ada mahu bertanding atau tidak. Sebagai ahli parti, kami masih memerlukan beliau untuk bersama-sama memimpin dari segi pandangan, pengalaman dan panduan ke arah perjuangan parti.

“Kami harap Tuan Guru kekal Presiden kerana keadaan sekarang yang mencabar dan pilihan raya akan menentukan masa depan bukan hanya kepada Pas tapi semua parti. Perlu ambil kira semua aspek termasuk perkembangan semasa, suasana dan juga pengundi muda. Jadi, memerlukan satu kepimpinan yang berpengalaman,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!