Malaysia berisiko hilang hasil AS$65 bilion: Pakar
MALAYSIA akan kehilangan hasil sehingga AS$65 bilion (AS$1=RM4.485) sekiranya pembekal tempatan tidak melakukan peralihan kepada tenaga hijau bersama rakan kongsi syarikat multinasional (MNC), kata Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Finance Institute Asia Ltd, Eugene Wong Weng Soon.
Beliau berkata, walaupun sektor hijau di Asia Tenggara akan memberikan peluang ekonomi bernilai AS$1 trilion tambahan menjelang tahun 2030, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus mengambil peluang itu dan melakukan peralihan kepada karbon sifar bersih.
Walaupun proses peralihan akan melibatkan kos yang lebih tinggi dan menghalang beberapa perniagaan kecil yang dilanda pandemik daripada memulakan inisiatif hijau itu, Eugene berkata, mereka boleh melakukannya dengan menggunakan rantaian bekalan.
"Antara cara itu ialah mereka boleh melakukannya adalah dengan menggunakan rantaian bekalan, sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan, ramai pelanggan telah menetapkan sasaran sifar karbon bersih.
"Jika mereka tidak melakukannya, mereka akan ketinggalan daripada rantaian bekalan dan kajian daripada Standard Chartered menyatakan kira-kira 80 peratus MNC merancang untuk memberhentikan pembekal yang gagal memenuhi sasaran peralihan sifar karbon bersih mereka menjelang 2025," katanya pada sesi perbincangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Maybank Invest ASEAN 2022, di sini pada Rabu.
Eugene berkata, memandangkan MSME dan PKS adalah tulang belakang ekonomi (ia menyumbang lebih daripada 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia), mereka adalah sebahagian besar penyumbang ekonomi dan perlu menjadi sebahagian besar daripada penyelesaian itu juga.
Beliau menjangkakan kemampanan adalah strategi perniagaan yang harus ada dan perniagaan yang lebih kecil perlu mencari cara untuk mengggunakannya supaya dapat terus berdaya saing pada masa hadapan.
Bagaimanapun tidak seperti syarikat besar yang mempunyai akses kewangan yang lebih mudah seperti pasaran modal, pembiayaan pinjaman atau instrumen seperti bon berkaitan kemampanan (SLB) dan pinjaman (SLL) untuk meneruskan perjalanan peralihan hijau mereka, Eugene berkata, bentuk pembiayaan yang berbeza diperlukan untuk lebih kecil.
"Syarikat, dengan pinjaman kekal sebagai instrumen kewangan mampan paling mudah untuk mereka.
"Walaupun ia sesuatu yang menggembirakan untuk melihat banyak bank di Asia Tenggara mula mengkonfigurasi semula dasar pemberian pinjaman mereka untuk menyokong agenda kemampanan untuk MSME, kita juga perlu melihat bagaimana bank boleh menjadi pengantara,” katanya.
Selain itu, Eugene berkata, perniagaan yang lebih kecil juga boleh memanfaatkan platform pendanaan awam pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk dana peralihan hijau.
"Kami telah melihat beberapa kejayaan platform pendanaan tersebut dan lebih banyak lagi kejayaan dijangka akan menyusul,” katanya.
Beliau mengakui peralihan hijau melibatkan kos yang tinggi untuk PKS dan PKS.
Sementara itu, pakar sektor kewangan utama Asian Development Bank, Mohd Sani Mohd Ismail berpendapat kerajaan boleh membantu dengan menggabungkan subsidi sokongan pemulihan atau pembiayaan di bawah pakej rangsangan kepada inisiatif hijau.
"Ini adalah peluang penting untuk membantu PKS melakukan peralihan kerana mereka adalah tulang belakang ekonomi, kerajaan perlu memainkan peranan untuk membantu PKS melakukan peralihan,” katanya.
Sustainable Finance Institute Asia Ltd adalah sebuah institut bebas yang ditubuhkan untuk memangkin idea mengenai kewangan mampan di peringkat dasar di Asia khususnya di ASEAN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!