Perhalusi cadangan perkenal program TVET di Tingkatan Satu

Awang (kanan) ketika melakukan pemeriksaan perbarisan dalam program Jelajah Outreach TVET di Pusat Giat Mara Pasir Gudang, Johor Bahru pada Rabu.
Awang (kanan) ketika melakukan pemeriksaan perbarisan dalam program Jelajah Outreach TVET di Pusat Giat Mara Pasir Gudang, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A


JOHOR BAHRU - Cadangan supaya program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilaksanakan bermula Tingkatan Satu berbanding Tingkatan Empat ketika ini wajar diperhalusi dalam usaha memenuhi tuntutan pasaran kerja berkemahiran pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pihak kaunselor di peringkat sekolah akan dapat mengenal pasti mereka yang berminat dalam bidang TVET seterusnya memberi latihan atau kemahiran di peringkat awal lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan berkata, tradisi dalam sistem pendidikan perlu diubah supaya bidang TVET dan akademik dilihat sama penting.

"Bagi ibu bapa mereka akan susun (rancang) dan lihat (kecenderungan dan minat) anak-anak mereka, kadang-kadang ada yang tidak suka akademik tetapi minat bidang seni sebagai contoh buat filem.

"Mereka boleh buat lebih baik daripada (mereka yang cenderung dalam) akademik, orang akademik pun tak boleh lawan dia," katanya dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Outreach TVET di Pusat Giat Mara Pasir Gudang pada Rabu.

Awang dan para pelatih mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dalam program Jelajah Outreach TVET di Pusat Giat Mara Pasir Gudang, Johor Bahru pada Rabu.
Awang dan para pelatih mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dalam program Jelajah Outreach TVET di Pusat Giat Mara Pasir Gudang, Johor Bahru pada Rabu.



Pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mencadangkan agar Program TVET dilaksanakan lebih awal bermula di Tingkatan Satu.

Langkah itu bagi membolehkan pelajar membuat pilihan lebih awal sama ada mahu bekerja dalam sektor industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, Awang bagaimanapun berkata, cadangan itu memerlukan perbincangan dan libat urus pelbagai pihak dan kementerian berkaitan khususnya Kementerian Pendidikan sebelum ia boleh dilaksana.

"Memang (cadangan) yang terbaik lebih-lebih lagi sekarang ini Majlis TVET Negara dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. Kita sekarang nak buat libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan. Kita akan dapat pandangan hasil daripada libat urus ini," jelas beliau.



Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan kementerian itu bagi memberi pendedahan terhadap pelajar termasuk di kawasan luar bandar sekali gus menarik minat mereka mengikuti program TVET.

Justeru katanya, langkah tersebut diharap dapat merealisasikan sasaran peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!