Pengundi atas pagar penentu kemenangan parti pada PRU15

Pengundi atas pagar akan menentukan kemenangan mana-mana parti pada PRU15. - Gambar kecil: Aminuddin
Pengundi atas pagar akan menentukan kemenangan mana-mana parti pada PRU15. - Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan bahawa pengundi atas pagar akan menentukan kemenangan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).

Menurutnya, mereka yang merupakan 60 peratus daripada jumlah pengundi nanti juga adalah golongan yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.

"Sama ada hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU kelak, adalah sukar ditentukan.

"Semalam hukuman sudah diputuskan, terpulang kepada orang ramai untuk buat pilihan, lebih kepada PH dan kurang kepada mereka (BN), itu bergantung kepada kefahaman masing-masing," katanya ketika sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, sebenarnya ahli parti tidak ramai, sama ada UMNO, PKR, PH, Perikatan Nasional juga tidak ramai.

"...Yang ramai adalah pengundi atas pagar yang merupakan 60 peratus daripada jumlah pengundi nanti. Mereka yang akan menentukan siapa menang atau kalah," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berharap keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua pemimpin di negara ini.

"Keputusan itu juga dijadikan pengajaran kepada kesemua pimpinan agar patuh dan akur dengan undang-undang sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!