Sultan Nazrin terima Anugerah Tokoh Penulis Diraja

Sultan Nazrin Shah
Sultan Nazrin Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Rabu menerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja daripada Anugerah Buku Negara untuk buku baginda berjudul ‘Striving For Inclusive Development From Pangkor to A Modern Malaysian State’.

Anugerah tersebut disampaikan Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Datuk Dr Muhamad Zohadie Bardaie dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar UPM, Serdang pada Rabu.

Menurut kenyataan UPM, Anugerah Buku Negara anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara dan UPM itu diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan buku dan penerbitan.

Sultan Nazrin bertitah buku kedua baginda yang diterbitkan Oxford University Press pada 2019 itu menghamparkan penemuan kajian mengenai pencapaian kemajuan Malaysia berdasarkan analisis komprehensif data-data ekonomi dan sosial dalam tempoh 150 tahun, bermula dari Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.

"Penyelidikan, kajian dan analisis yang dilakukan mengambil masa hampir 20 tahun melibatkan proses kerja yang sangat mencabar untuk mendapatkan data yang tersimpan di pelbagai tempat, dalam bentuk rekod yang tidak seragam; disusuli kemudiannya dengan proses memilih dan menapis serta cuba menyelaras dan menyeragamkan maklumat dan data yang dikumpulkan,” titah Sultan Nazrin.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa, kepelbagaian Malaysia dari aspek agama, budaya dan bahasa merupakan aset yang wajib diharmonikan melalui amalan budaya keterangkuman bagi membentuk warga yang kukuh berpadu dalam kepelbagaian.

Titah baginda, semua pihak perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kejayaan Malaysia selama ini adalah hasil usaha setiap rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan budaya.

"Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang mengasaskan kemerdekaan negara, elemen yang pelbagai itu berjaya digabungkan dan dicantumkan.

Artikel Berkaitan:

"Lalu dibina tenaga dan kekuatan, menyusun gerakan dan tuntutan sehingga berjaya tertubuhnya sebuah negara merdeka Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, disusuli dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, sebuah negara yang aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, semua pihak wajar mengingatkan diri mereka untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan kemurkaan ALLAH SWT serta tidak alpa dengan kejayaan dinikmati selama ini.

Sultan Nazrin turut bertitah bahawa, negara akan dilimpahi kecemerlangan jika melakukan yang makruf dan memerangi kemungkaran, serta berpendirian bahawa Malaysia akan lebih gemilang jika setiap rakyat diberi peluang yang saksama untuk menikmati faedah daripada pembangunan negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!