Keputusan kes Najib permulaan penting perangi rasuah

Rais Hussin
Rais Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd adalah permulaan penting kepada usaha memerangi rasuah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Reseach, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, ketegasan keputusan seperti itu perlu diteruskan, namun akan berdepan liku yang mencabar kerana rasuah sudah menjadi cara hidup di negara ini.

"Buat masa ini keputusan mahkamah terhadap Najib, walaupun keputusan yang amat penting hanyalah permulaan kecil apabila dibandingkan dengan tahap serius kanser korupsi, najis rasuah dan kemunafikkan yang teruk melanda negara ini.

"Ini hanyalah permulaan kerana usaha memerangi rasuah adalah perjalanan yang sangat panjang dan sukar terutamanya apabila rasuah telah menjadi cara hidup di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, roda keadilan bukan sahaja mesti berfungsi tetapi perlu dilihat berfungsi untuk memastikan budaya rasuah yang telah menjadi endemik di Malaysia dapat diatasi.

"Ia juga untuk mengembalikan erti sebenar kebebasan dan kemerdekaan di mana semua rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran hati akan bercita-cita untuk memenuhi dan mencapai standard tertinggi sebuah negara berdasarkan kedaulatan undang-undang.

"Semua pelajar dan penjawat awam di Malaysia harus diberi amaran tentang jenayah najis rasuah kejam dan akibatnya yang besar di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi. Rasuah bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Ia boleh memusnahkan seluruh negara dan seluruh dunia," katanya.

Mengulas mengenai kes Najib, beliau menyifatkan bekas Perdana Menteri itu akan bangkit dan akan menggunakan apa jua cara sekalipun untuk kembali berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Haiwan yang cedera, terutamanya yang terperangkap dan terdesak adalah yang paling berbahaya. Sama ada Najib dan rakan-rakannya akan berada di Penjara Kajang, perlu diingatkan bahawa orang-orang seperti mereka telah merasai kuasa selama kira-kira 61 tahun sebelum dijatuhkan.

"Mereka akan mencari jalan untuk menyerang kembali pada tahun-tahun akan datang.Gaya politik mereka tidak akan memihak kepada reformasi seperti yang dianjurkan dan diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.

"Sebaliknya, mereka akan mengamalkan gaya politik yang keji, permusuhan dan perpecahan, serta pelbagai aktiviti memujuk orang ramai untuk mengundi mereka dan parti politik mereka secara terbuka dan secara halus untuk mempertahankan diri mereka sendiri walaupun mereka jelas melanggar semua undang-undang dan kesopanan moral," katanya.

Beliau juga mendakwa Najib telah lama mengasah anaknya untuk menjadi pengganti sekiranya dilucutkan segala kelayakan untuk kekal di arena politik.

"Ini adalah percubaan untuk mengekalkan cengkamannya dalam pentadbiran, tidak kiralah betapa lemahpun genggamannya, mungkin untuk menggunakan potensi kedudukan anaknya dalam sistem Parlimen.

"Ia untuk membuat pelbagai gerakan taktikal yang boleh membersihkan kesalahannya (dan tidak lama lagi kesalahan orang lain yang telah telah dikaitkan dengannya), demi mengekalkan kewujudan peluang untuk mendapatkan pengampunan diraja suatu hari nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!