HIS, Akademi Halal menterai perjanjian pembangunan modal industri halal
KUALA LUMPUR - Halal International Selangor (HIS) bersedia menjadi pusat latihan utama bagi latihan dan pendidikan halal secara bersemuka dan dalam talian.
Ia susulan daripada pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara HIS dan Akademi Halal di sini hari ini bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2019.
“Kerjasama ini membuktikan satu langkah sinergistik untuk kebaikan industri halal dengan cara menyokong sepenuhnya peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi perkembangan pengetahuan yang dipermudahkan bagi memajukan profesional halal bertaraf dunia,“ kata Ketua Pegawai Operasi HIS Zulkarnine Shah Zainal Abidin.
MoA itu menyatakan bahawa latihan halal bukan sahaja komprehensif, malah mudah diakses menerusi platform pembelajaran dalam talian Akademi Halal.
Menurut Zulkarnine, langkah strategik antara HIS dan Akademi Halal akan menyemarakkan lagi pembangunan modal insan industri halal di Selangor.
Komitmen HIS ke arah membangunkan profesional halal menerusi Program Kecekapan Teknikal Individu Halal akan melibatkan 40 modul untuk menghasilkan profesional yang holistik bagi memajukan industri halal pada masa depan.
Zulkarnine berkata kerjasama itu akan meningkatkan lagi usaha untuk meletakkan Selangor sebagai peneraju industri halal.
“Kami percaya MoA ini akan membantu memperkukuh usaha Invest Selangor dan kerajaan negeri bagi menarik pelabur dari seluruh dunia untuk melihat Selangor sebagai pemangkin pertumbuhan dan pembangunan dalam industri halal di rantau ini,” katanya.
Pada majlis menandatangani MoA itu, HIS diwakili Mohamad Razif Abdul Wahab manakala Khairul Anwar Kamal mewakili Akademi Halal, disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!