100 dokumen sulit ditemui di kediaman Trump

FBI menyerbu kediaman peribadi Trump, Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada awal bulan lalu. - Foto: Agensi.
FBI menyerbu kediaman peribadi Trump, Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada awal bulan lalu. - Foto: Agensi.
A
A
A

WASHINGTON - Arkib Negara menemui sebanyak 15 kotak mengandungi kira-kira 100 dokumen bertanda sulit setebal lebih 700 muka surat di kediaman peribadi bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Januari lalu.

Angka itu menjelaskan sejumlah besar dokumen rahsia kerajaan yang ditemui di Mar-a-Lago, Palm Beach di Florida sebelum ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyerbu estet tersebut dan mengambil 11 set rekod tambahan pada awal bulan lalu.

Pemangku arkib, Debra Steidal Wall memberitahu Evan Corcoran iaitu peguam Trump bahawa pentadbiran Joe Biden tidak akan menghormati tuntutan hak eksekutif yang dikemukakan pendahulunya.

Sebelum ini, Corcoran meminta tempoh untuk menyemak bahan tersebut sebelum Arkib Negara menyerahkannya kepada FBI.

Difahamkan, surat arkib tersebut didedahkan kepada umum melalui laman Arkib Negara dan Pentadbiran Rekod pada Selasa.

Kandungan surat itu mendapati Trump tiada hak untuk menghalang tindakan susulan yang akan diambil oleh mereka dan ejen persekutuan bakal diberi akses kepada dokumen tersebut dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Arkib Negara turut meminta Jabatan Kehakiman melancarkan siasatan susulan penemuan dokumen sulit di Mar-a-Lago yang sepatutnya diserahkan oleh Trump ketika penggal pentadbirannya berakhir pada Januari 2021.

"Antara dokumen itu ditandakan sebagai rahsia peringkat tertinggi selain turut mempunyai maklumat tentang program akses khas kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Akses kepada semua dokumen tersebut bukan hanya untuk siasatan jenayah malah untuk penilaian potensi kerosakan akibat daripada cara ia diangkut dan penyimpanannya," jelas kandungan surat ditulis Wall itu lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!