Najib nak buka bilik minta maaf
SEREMBAN – Penampilan sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena kempen PRK DUN Rantau mencuri tumpuan apabila beliau nyatakan hasrat mahu membuka bilik khas untuk sesiapa meminta maaf.
Beliau ketika berucap di sebuah restoran di Sendayan di sini, hari ini berkata, ramai yang kini datang meminta maaf kepadanya dan ia juga berlaku di Sendayan.
"Ini cerita benar, tadi saya keluar dari surau ada datang bisik dan kata 'datuk, saya minta maaf dulu saya caci datuk. Sekarang saya tahu cacian saya itu tak betul'.
"Jadi, saya ingat nak buat satu bilik khas untuk orang datang minta maaf," katanya secara berseloroh.
Katanya, beliau bersedia memaafkan semua yang memfitnahnya sehingga memberi kesan teruk kepada BN pada PRU14.
Terdahulu seperti dijangka penampilan sulung bekas Perdana Menteri itu dinanti-nanti pengundi DUN Rantau.
Seawal jam 8 malam, ramai yang sudah mula memenuhi kawasan sekitar bagi menunggu kehadiran beliau yang sampai lebih kurang jam 9.15 malam.
Najib ketika berucap berkata tidak menyangka yang beliau sepopular sekarang berbanding ketika menjadi Perdana Menteri.
"Kalaulah popular macam hari ini, tak kalah pilihan raya dulu. Di mana silap pun saya tak tahu.
"Saya tak kata kita tiada kelemahan, mustahil. Mana gading tak retak, mana bumi yang tak ditimpa hujan? Ada kelemahan. Tapi janganlah seinci jadi sedepa. Janganlah kecil, jadi besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!