Mesyuarat biro politik UMNO malam ini

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Politik UMNO malam ini mengadakan mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat parti itu, di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri pemimpin tertinggi parti itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO tiba pada 8 malam.

Antara yang dilihat tiba di lobi Menara Dato Onn itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar.

Difahamkan mesyuarat malam ini bagi membincangkan perkembangan semasa termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Selasa, Ahmad Zahid dalam hantaran di Facebook rasminya menegaskan UMNO akan bertindak rasional dan terus akur dengan kehendak keputusan parti.

"Marilah kita terus bersama-sama bersolidariti. Susah dan senang Datuk Seri Najib kita tetap bersama. Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti.

"Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat. Tiada pengkhianatan sesama kita. Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar," katanya dalam hantaran itu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid turut dijangka mengadakan satu Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan UMNO di Pusat Dagangan Putra, Sabtu ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!