Tiada undang-undang spesifik buli siber
SHAH ALAM - Tiada undang-undang spesifik berkaitan pembuli siber namun mana-mana individu yang merasakan diri mereka menjadi mangsa buli siber perlu tampil membuat laporan.
Peguam, Muhammad Amin Abdullah berkata, satu tafsiran jelas berkaitan buli siber diperlukan kerana ketika ini buli siber boleh terjadi dalam pelbagai sudut.
Menurutnya, mana-mana tindakan bagi kes buli di alam maya kini boleh dikenakan tindakan di bawah akta-akta bersesuaian seperti di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Fitnah 1957.
"Salah satu perkara yang perlu dibincangkan sebenarnya kita tiada undang-undang spesifik berkenaan dengan buli siber. Jadi apa pun kita akan merujuk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia
"Itu persoalan sekarang ini, kita perlukan satu tafsiran apa itu buli siber? secara spesifiknya tiada. Jadi bila perkara seperti ini berlaku secara berleluasa, akan ada komen yang pelbagai. Kadang-kadang komen-komen yang menjatuhkan seseorang, bukannya hantaran asal.
"Jadi sekarang ini bila tiada tafsiran berkenaan buli siber kita akan terawang-awangan...kita akan pilih salah satu corak. Seperti saman fitnah. Kita boleh ambil tindakan bawah Akta Fitnah, bawa ke mahkamah biar mahkamah tentukan, dan akan ada ganti rugi berkenaan apa yang menjejaskan reputasi seseorang," katanya ketika menjadi panelis Program Kompas Rasuah Busters yang membincangkan topik 'Buli siber jadi barah' disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Program dikendalikan oleh Zaim Zaini itu turut menampilkan pengarah dan pelakon, Khir Rahman, serta pempengaruh media sosial, Cikgu Zack Kirana sebagai panelis.
Dalam pada itu, Muhammad Amin berkata, kebebasan bersuara di negara ini tidak memberikan kita hak untuk mengecam orang lain.
Katanya, istilah sesuai bagi mereka yang bertindak sebagai pembuli siber ini juga adalah pengecut kerana berselindung di sebalik akaun palsu.
"Golongan ini adalah seorang yang pasif, sebab itu mereka mahu orang lain sedar kewujudan mereka ada di alam maya.
"Nasihat saya kalau kita terima kecaman daripada sesiapa kita tak kenal, jangan balas. Tapi mangsa buli boleh buat laporan untuk siasatan dan tindakan seterusnya diambil," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!