Kuching City manfaatkan kelebihan laman sendiri
KUCHING City FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri mengatasi Selangor 2 dengan kemenangan tipis 1-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri Sarawak, Kuching pada Rabu.
Pemain pertahanan berusia 42 tahun, Ramesh Lai Ban Huat muncul wira skuad The Cats apabila sepakan hantaran silangnya terus memasuki gawang lawan pada minit ke-25.
Beraksi di hadapan lebih 100 penonton, jaringan awal itu membangkitkan semangat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim untuk terus menggandakan asakan dan berjaya mencipta beberapa peluang keemasan pada babak pertama.
Namun, kesemua percubaan tuan rumah yang mendapat sokongan padu pemain ke-12 gagal diterjemahkan akibat ketumpulan jentera serangan.
Memasuki babak kedua, pasukan pelawat berusaha mendapatkan jaringan penyamaan namun gagal dan keputusan berakhir 1-0 dengan Kuching City meraih tiga mata penuh.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City kekal di kedudukan keempat sekali gus merapatkan jurang bersama tiga pasukan teratas dengan 30 mata manakala Selangor 2 kekal di tangga kelapan dengan 13 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.
Kelantan FC kekal di persada liga dengan 36 mata, diikuti Johor Darul Ta'zim (JDT) II yang berkelebihan satu perlawanan dengan 33 mata manakala Terengganu FC II dengan 30 mata mengatasi Kuching City berdasarkan kelebihan jaringan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!