Pandelela mahu MS lahir lebih ramai bakat muda

Pandelela menunjukkan hasil karya artis digital Nicholas Chuan pada pelancaran pelancaran token tidak sepiawai (NFT) miliknya ‘P.Zero 1’ pada Rabu. - Foto Bernama
Pandelela menunjukkan hasil karya artis digital Nicholas Chuan pada pelancaran pelancaran token tidak sepiawai (NFT) miliknya ‘P.Zero 1’ pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berharap Malaysia Swimming (MS) akan berusaha mencari lebih ramai bakat dalam sukan terjun.

Meskipun berasa sedih dengan situasi terkini sukan terjun, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mengakui pandemik Covid-19 telah menjejaskan pembangunan atlet junior dalam pasukan kebangsaan serta negeri.

Bagaimanapun, Pandelela yakin Malaysia akan menghasilkan penerjun yang baik pada masa depan, sekiranya semua pihak termasuk MS dan Majlis Sukan Nasional (MSN) melaksanakan usaha lebih bersepadu dalam mencari bakat baharu.

“Ada peluang (untuk menghasilkan penerjun yang bagus) cuma perlu masa untuk dibangunkan. Nak pergi dari junior ke tahap saya bukan mudah, ia perlukan masa.

“Saya harap pihak berkenaan seperti MS ada perancangan bagi meningkatkan 'talent pool' (kumpulan bakat). Usaha MSN juga penting kerana saya daripada program pembangunan mereka dahulu dan harap ia dapat diteruskan," katanya selepas pelancaran token tidak sepiawai (NFT) miliknya 'P.Zero 1' di Kuala Lumpur pada Rabu.

MSN menerusi kenyataan baru-baru ini berkata, beberapa acara dalam olahraga dan terjun digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bermula 16 hingga 24 September ini, kerana gagal mendapat penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri.

Selain itu, Pandelela yang akan kembali berlatih pada Khamis selepas menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini, memaklumkan beliau akan bertanding dalam Grand Prix Terjun Kuala Lumpur pada November depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!