Piala AFC: KL City juara Zon ASEAN, tundukkan PSM Makassar

Pemain KL City meraikan kejayaan mengatasi PSM Makassar dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto AFC
Pemain KL City meraikan kejayaan mengatasi PSM Makassar dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto AFC
A
A
A

KUALA LUMPUR (KL) City FC melaungkan amaran awal bahawa The Hawks serius dalam mencabar kejuaraan Piala AFC 2022 apabila menjuarai Zon ASEAN pada Rabu.

Anak buah Bojan Hodak muncul juara selepas membelasah kelab Liga Indonesia, PSM Makassar, 5-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kemenangan itu menyaksikan KL City menjadi kelab pertama Malaysia memenangi fasa Zon ASEAN selepas kejuaraan tersebut distruktur pada 2017.

The Hawks terlebih dulu memimpin babak pertama menerusi jaringan Romel Morales pada minit ke-33 sebelum Jordan Mintah memastikan The Hawks menuju ke bilik persalinan dengan bekalan dua gol pada minit ke-47.

Bersambung babak kedua, Paulo Josué melebarkan jaringan tuan rumah menerusi gol minit ke-52 selepas menyempurnakan sepakan penalti.

Bagaimanapun Red Fish yang tidak mengalah merapatkan jurang menerusi Yakob Sayuri (58’) dan Akbar Tanjung (63’) untuk kedudukan 3-2.

Dua gol pelawat itu menyemarakkan kembali semangat The Hawks apabila Josue meledak gol keempat (84’) sebelum Hadin Azman kemudian melengkapkan malam pesta KL City apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-94.

Kejayaan bergelar Raja ASEAN menyaksikan The Hawks akan meneruskan kempen separuh akhir Antara Zon berdepan kelab India, ATK Mohun Bagan.

Artikel Berkaitan:

Namun penggantungan sementara dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persekutuan Bola Sepak India (AIFF) berikutan campur tangan pihak ketiga dijangka menyaksikan perubahan jadual perlawanan seterusnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!