Bayi meninggal dunia di penempatan pencari suaka di Belanda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
AMSTERDAM - Kematian seorang bayi berusia tiga bulan minggu ini di pusat pencari suaka di Belanda, telah membuka mata mengenai masalah kekurangan tempat tinggal untuk pelarian di negara itu, yang kini menjadi krisis nasional.

Inspektorat Kesihatan dan Penjagaan Belia dalam satu kenyataan berkata, bayi itu meninggal dunia pagi Rabu di dewan sukan yang dijadikan pusat penerimaan pencari suaka di kampung Ter Apel.

Kenyataan itu menyatakan punca kematian sedang disiasat.

"Seorang bayi berusia tiga bulan meninggal dunia malam tadi di dewan sukan di Ter Apel. Seperti semua orang, saya amat terkejut dengan peristiwa itu,” ciap Setiausaha Kerajaan Negeri Eric van der Burg di Twitter.

Keadaan penuh sesak di pusat permohonan suaka di Ter Apel, yang berlarutan selama berbulan-bulan, telah bertukar menjadi krisis nasional.

Ketika kerajaan Belanda cuba menangani masalah itu, pasukan Palang Merah Belanda memasang khemah di taman pusat itu kerana kekurangan katil tetapi mengalihkannya akibat reaksi yang diterima daripada penduduk tempatam.

Meskipun khemah-khemah telah dipindahkan, ramai pelarian termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua terus tidur di taman itu.

Kerajaan Belanda mengalami masalah dalam mencari tempat untuk pelarian kerana kekurangan ruang di pusat suaka dan ketidakupayaan majlis perbandaran untuk menyediakan penempatan sesuai kepada pelarian.

Ketika kerajaan cuba memindahkan mereka melalui Agensi Pusat Penerimaan Pencari Suaka (COA) ke hotel yang dibeli di kampung Albergen untuk menempatkan 300 pelarian, ia juga berdepan bantahan daripada penduduk tempatan.
Artikel Berkaitan:


Di samping itu, Van der Burg telah mencadangkan menjadikan kapal penjelajah sebagai pusat penginapan sementara sebagai satu cara untuk membantu menyelesaikan masalah itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!