Naik taraf Jalan Perindustrian Rawang dijangka siap 2026
RAWANG - Projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) bakal dilaksanakan dalam masa terdekat selepas lantikan kontraktor selesai pada 22 Ogos lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, projek pelebaran jalan bernilai RM227 juta itu akan mengambil masa selama empat tahun dan dijangka siap Ogos 2026.
Menurutnya, projek turut melibatkan kerja membina jejambat dari persimpangan Garing hingga ke Jalan Bistrol bagi menyelesaikan isu kesesakan trafik di jalan tersebut.
"Mengenai penutupan jalan atau perubahan trafik, perkara tersebut masih belum diputuskan kerana masih di peringkat awal projek.
"Masa setahun mungkin diperlukan untuk proses pengambilalihan tanah dan reka bentuk sebelum kerja tapak dilaksanakan,"katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Wei Kiat berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong akan memantau projek tersebut dan mengemas kini perkembangannya menerusi sosial media.
April lalu, hampir 30 penduduk Rawang berkumpul mendesak projek naik taraf tersebut disegerakan bagi mengatasi isu kesesakan trafik dihadapi mereka lebih 10 tahun.
Kerajaan pada 2019 telah meluluskan peruntukan naik taraf jalan itu dan sepatutnya dimulakan pada 2020 namun tiada sebarang kerja dilaksanakan menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!