Kerber tarik diri Terbuka Amerika kerana hamil

Kerber
Kerber
A
A
A

JUARA Grand Slam tiga kali, Angelique Kerber sah tidak akan beraksi di Terbuka Amerika Syarikat yang dijangka membuka tirainya bulan hadapan.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Kerber dalam satu hantaran di Instagram miliknya sambil memberitahu alasan hamil menjadi puncanya dirinya menarik diri daripada menyertai Grand Slam itu dan beberapa lagi jelajah WTA.

“Untuk beberapa bulan akan datang, saya akan berehat daripada mengembara ke seluruh dunia sebagai pemain tenis.

"Saya benar-benar mahu bermain @usopen tetapi akhirnya saya memutuskan bahawa dua lawan satu bukanlah persaingan yang adil," tulisnya.

Kerber berharap berkesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya di gelanggang sebelum berehat daripada siri jelajah buat seketika.

“Menjadi seorang atlet profesional amat bermakna buat saya tetapi saya bersyukur dengan laluan baru yang bakal ditempuhi.

“Sejujurnya, pada masa yang sama saya gementar dan teruja. Terima kasih atas sokongan berterusan anda, ia cukup bermakna buat saya,” kongsinya.

Untuk rekod, Kerber sebelum ini pernah menjuarai Terbuka Amerika pada 2016 selain pernah meraih gelaran Terbuka Australia pada tahun yang sama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!