Warga asing serang polis didakwa di mahkamah esok
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Algeria akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, atas tuduhan menyerang dua anggota polis menggunakan tukul besi di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lelaki berusia berusia 30 tahun itu akan dituduh pada jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
"Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu dan mendapat arahan tuduh di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang lelaki warga Algeria ditahan selepas menyerang dua anggota polis yang bertugas di IPK Kuala Lumpur sekitar jam 1.40 pagi.
Lelaki dipercayai mempunyai masalah mental itu pada mulanya dikatakan datang ke pondok pengawal dan cuba bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anggota polis yang bertugas.
Suspek tiba-tiba mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala anggota terbabit sebelum mengejar seorang lagi anggota polis lain dipercayai untuk merampas senjata api jenis Heckler & Koch MP5 yang ada pada mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!