RM1.3 juta wang pengamal perubatan lesap ditipu

Kamarul Zaman semasa mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Kamarul Zaman semasa mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengamal perubatan mengalami kerugian sebanyak RM1.3 juta akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan perkhidmatan menjual kereta potong dari Singapura tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 34 itu mula tertarik dengan iklan dalam Facebook pada hujung bulan lalu.

"Mangsa kemudiannya menekan pautan iklan tersebut sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut tawaran diberikan.

"Mangsa mungkin mahu mulakan bisnes alat ganti kenderaan, jadi dia nak beli kereta skrap dari Singapura.

"Dia tidak pernah jumpa secara fizikal dengan suspek, mereka berhubung secara dalam talian," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, mangsa melakukan beberapa transaksi memindahkan wang RM1.3 juta tersebut ke akaun disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa mula menyedari tertipu setelah suspek gagal dihubungi sebelum dia tampil membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang mekanik kerugian kira-kira RM240,000 setelah terpedaya sindiket tiket loteri yang menjanjikan pulangan hadiah setengah juta ringgit.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berusia 55 tahun didatangi seorang lelaki pada bulan Mei lalu menawarkan tiket loteri toto yang sudah menang hadiah RM500,000.

"Bagi mendapatkan hadiah tersebut, suspek memaklumkan mangsa perlu membayar duit pendahuluan. Mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank melibatkan wang RM240,000," katanya.

Katanya, mangsa menyedari tertipu selepas suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi sebelum mangsa membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!