Tapak kaki dinosaur ditemui selepas air sungai kering
HOUSTON - Kemarau di Texas telah mengeringkan sungai yang mengalir melalui Taman Lembah Dinosaur Negeri di Texas baru-baru ini.
Ia menyebabkan jejak-jejak tapak kaki daripada reptilia gergasi yang hidup kira-kira 113 juta tahun lalu kelihatan selepas air sungai itu kering, kata seorang pegawai pada Selasa.
Foto yang disiarkan di Facebook menunjukkan kesan tapak kaki dinosaur menuju ke dasar sungai yang dibarisi pokok kering di negeri selatan Amerika Syarikat (AS) itu.
Ia adalah salah satu laluan dinosaur terpanjang di dunia, kata kapsyen yang mengiringi imej tersebut di laman sosial tersebut.
Stephanie Salinas Garcia dari Jabatan Taman dan Hidupan Liar Texas berkata, cuaca kering menyebabkan jejak tersebut kelihatan.
"Disebabkan keadaan kemarau yang melampau pada musim panas lalu, sungai itu kering sepenuhnya di kebanyakan lokasi membolehkan lebih banyak jejak ditemui di taman ini," katanya.
"Di bawah keadaan sungai biasa, jejak-jejak itu berada di bawah air dan lazimnya dipenuhi dengan sedimen, menjadikannya tertimbus dan tidak kelihatan," kata Garcia.
Kebanyakan jejak yang didedahkan baru-baru ini dibuat oleh dinosaur Acrocanthosaurus, yang mempunyai berat hampir 6,350 kilogram sebagai haiwan dewasa dan tingginya 4.5 meter.
Dinosaur seperti Sauroposeidon juga meninggalkan jejak-jejak tapak kaki di taman itu.
Haiwan itu berukuran lebih 18 meter dan berat lebih 39,000 kilogram (kg) ketika dewasa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!