Buru individu lari bayar cukai, pemimpin PH sokong Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemimpin PH menyokong gesaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memburu individu termasuk menteri dan bekas menteri yang lari daripada membayar cukai.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, gesaan yang dibuat Dr Mahathir itu selari dengan kehendak rakyat yang mementingkan ketelusan.

“Sebagai wakil rakyat, kita mesti memberi contoh kepada rakyat supaya membar cukai tepat pada masanya.

“Dahulu, ketika saya sebagai pembangkang, perkara ini yang kami perjuangkan, isu berkenaan ketelusan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, gesaan itu merupakan satu saranan yang adil buat semua pihak.

“Maksudnya, di depan undang-undang, semua orang adalah sama dan kita tidak boleh membelakangi undang-undang.

“Jadi kalau setiap orang yang layak bayar cukai, dia perlu bayar cukai. Tak adil jika menteri, timbalan menteri atau bekas menteri tidak bayar cukai,” katanya.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, membayar cukai adalah perkara wajib bagi semua pihak dan individu tersebut tidak boleh melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya ini memang suatu yang sangat adil sebab gaji kita sebagai Yang Berhormat termasuk sama ada Ahli Parlimen mahupun menteri semua dibayar oleh rakyat melalui pembayar cukai.

“Jadi tentulah kalau kita tak membayar cukai adalah satu contoh yang tidak baik. Mana-mana bahagian yang kena bayar cukai maknanya wajib bayar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!