Kerjasama Tourism Malaysia, TM galakkan pelancongan domestik

Pengerusi Tourism Malaysia Tan Sri Dr Ong Hong Peng (tengah) bergambar bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab (dua, kiri) dan Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim (tiga, kanan) pada majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara Telekom Malaysia Berhad dan Tourism Malaysia di Menara Kuala Lumpur, pada Khamis. - Foto Bernama
Pengerusi Tourism Malaysia Tan Sri Dr Ong Hong Peng (tengah) bergambar bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab (dua, kiri) dan Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim (tiga, kanan) pada majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara Telekom Malaysia Berhad dan Tourism Malaysia di Menara Kuala Lumpur, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia dan Telekom Malaysia (TM) pada Khamis memeterai memorandum kerjasama (MOC) untuk mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia menerusi platform pengiklanan digital bagi menggalakkan pelancongan domestik.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, kerjasama itu membabitkan strategi pemasaran dan penyelesaian digital yang dibekalkan oleh TM di bawah anak syarikat dan cabang perniagaannya iaitu TM Info-Media Sdn Bhd dan Credence, bermula 1 Julai lepas hingga 31 Jan 2023.

"Kolaborasi bersama TM Info-Media melibatkan pengiklanan digital menerusi paparan skrin di kesemua 32 pusat TM Point di seluruh negara termasuk di platform Unifi Wi-Fi Ads, Yellow Pages Banner dan Unifi TV selain Google Keywords Ads.

"Credence akan menyediakan analisis media sosial melibatkan penggunaan data raya untuk dinilai serta diguna pakai oleh Tourism Malaysia bagi merancang strategi promosi dan pemasaran yang berkesan," katanya dalam sidang media selepas Majlis pemeteraian MOC itu.

MOC itu ditandatangani oleh Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif TM Info-Media merangkap Ketua Jualan Penyelesaian Digital unifi Business Sean Koh Chin Soon, disaksikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia Tan Sri Dr Ong Hong Peng dan Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim.

Zainuddin menambah, kerjasama itu sejajar dengan Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia 2022-2026 yang turut dibangunkan dengan berteraskan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.

"Kita yakin kerjasama ini akan dapat memangkinkan lagi usaha untuk merealisasikan digitalisasi pelancongan menerusi pendekatan strategi pengiklanan digital bagi mempromosikan kempen Cuti-cuti Malaysia," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!