Mangsa kepala air mohon kerajaan baik pulih tebing sungai
BALING - Penduduk Taman Mesra Ria, Kupang yang terjejas akibat tragedi kepala air 4 Julai lalu mengharapkan agar kerajaan membaik pulih tebing sungai yang runtuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Mangsa banjir, Sulaiman Maarof, 58, berkata, perkara itu mendatangkan kebimbangan dan trauma penduduk biarpun kejadian itu sudah berlalu lebih sebulan lalu.
Menurutnya, kebimbangan penduduk adalah berasas memandangkan jarak antara rumah dengan tebing sungai hanya kira-kira 15 meter disebabkan berlaku hakisan.
"Rumah saya paling hampir dengan tebing sungai, ketika kejadian, habis semua peralatan dan perkakasan rumah terjejas termasuk perabot seperti katil dan tilam.
"Kami mohon kerajaan baik pulih tebing sungai dengan segera, rumah kami juga banyak dah retak-retak, risau bila ada limpahan air sungai atau kepala air berulang, apa akan jadi?,"katanya.
Selain itu, Zakaria Abdul Aziz, 43, berkata, penduduk mengharapkan agar beberapa langkah dilakukan termasuk penyelenggaraan longkang secara berkala dan kerja-kerja mendalamkan sungai dilakukan.
Menurutnya, ia sebagai langkah berjaga-jaga dan tindakan segera bagi mengurangkan limpahan air sungai ke kawasan perumahan sehingga menyebabkan berlaku banjir besar yang mendatangkan risiko kerugian.
Sementara itu, Lokman Awang Kechil, 53, berkata, kejadian kepala air yang berlaku adalah paling buruk sejak dia menetap di perumahan itu 11 tahun lalu.
"Taman kami teruk juga dilanda banjir sehingga paras pinggang, habis selut penuh rumah dan banyak barang elektrik rosak.
"Kalau boleh kami minta pihak terbabit bertindak segera bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,"katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga mangsa terkorban dalam tragedi kepala air di Kampung Iboi Kupang Baling 4 Julai lalu apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!