TMJ ucap tahniah kepada KL City
KEJAYAAN kelab Liga Malaysia (Liga-M), Kuala Lumpur City (KL City) FC merangkul kejuaraan Zon ASEAN Piala AFC 2022 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan berikutnya mendapat reaksi positif pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menurut Tunku Ismail, pencapaian dilakar skuad The Hawks itu merupakan sesuatu yang membanggakan walaupun beroperasi dengan bajet terhad setiap musim.
“Bajet 10 juta setahun sahaja. Juara Piala Malaysia, Juara Zon ASEAN Piala AFC. Tahniah KL City FC. Satu kerja yang bagus Stanley Bernard, Bojan Hodak dan juga pemain,” kata Tunku Ismail di laman Instagram peribadinya.
KL City sebelum itu melaungkan amaran awal serius dalam mencabar kejuaraan Piala AFC 2022 apabila menjuarai Zon ASEAN pada Rabu.
Anak buah Bojan Hodak muncul juara selepas membelasah kelab Liga Indonesia, PSM Makassar, 5-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kemenangan itu menyaksikan KL City menjadi kelab pertama Malaysia memenangi fasa Zon ASEAN selepas kejuaraan tersebut distruktur 2017.
The Hawks terlebih dulu memimpin babak pertama menerusi jaringan Romel Morales pada minit ke-33 sebelum Jordan Mintah memastikan The Hawks menuju ke bilik persalinan dengan bekalan dua gol pada minit ke-47.
Bersambung babak kedua, Paulo Josué melebarkan jaringan tuan rumah menerusi gol minit ke-52 selepas menyempurnakan sepakan penalti.
Bagaimanapun Red Fish yang tidak mengalah merapatkan jurang menerusi Yakob Sayuri (58’) dan Akbar Tanjung (63’) untuk kedudukan 3-2.
Dua gol pelawat itu menyemarakkan kembali semangat The Hawks apabila Josue meledak gol keempat (84’) sebelum Hadin Azman kemudian melengkapkan malam pesta KL City apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-94.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!