Didenda RM10,000 longgok sampah secara haram
SUNGAI PETANI - Seorang pemilik syarikat perkhidmatan sisa pepejal didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen 1 Sungai Petani, Kedah pada Rabu atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal secara haram pada tahun lepas.
Hakim Roslan Hamid membuat keputusan tersebut selepas pemilik syarikat berkenaan, L Kasturi, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).
Mengikut fakta kes, lori milik tertuduh telah didapati melonggokkan sisa pepejal terkawal jenis komersial sebagaimana yang dinyatakan di bawah tafsiran Seksyen 2 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Kesalahan tersebut dilakukan pada 11 Oktober 2021 di kawasan tanah lapang di Sungai Petani, Kuala Muda.
Ia dikesan dalam satu operasi pemantauan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Sungai Petani di lokasi kejadian apabila didapati seorang lelaki yang diarahkan oleh tertuduh sedang melonggokkan sisa pepejal tanpa kebenaran dengan menggunakan sebuah lori.
Lokasi pelupusan yang sepatutnya adalah di tapak pelupusan Padang Cina, Kulim.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Muhammad Shukor Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Kedah, Nordin Amat memaklumkan, SWCorp giat memantau aktiviti pembuangan sisa pepejal secara haram.
Katanya, tindakan tegas yang diambil adalah sebagai langkah untuk meningkatkan tahap kebersihan serta kesedaran orang awam tentang pentingnya dan melupuskan sampah dengan betul demi menjaga kebersihan persekitaran.
Tambah beliau, mengikut akta berkenaan, tertuduh jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!