Status IR 4.0 perlukan perubahan

A
A
A

DALAM masa hampir dua dekad dunia kewartawanan banyak mengecapi perubahan.

Seorang sahabat lama telah menghantar senarai perubahan yang melanda dunia persuratkhabaran.

Menurut sahabat lama itu, beliau pernah menjadi wartawan Berita Minggu dan ketika itu, edarannya hampir mencecah 450,000 naskhah seminggu.

Sahabat itu menjelaskan sebahagian besar masanya diperuntukkan untuk memerah otak bagi mencari bahan yang menarik minggu demi minggu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dunia kewartawanan kini sudah berbeza sama sekali.

Cara bekerja dalam dunia kewartawanan ketika ini dianggap jauh lebih mencabar apabila online news (berita atas talian) mendakap perhatian semua manusia.

Anak muda dewasa ini tidak lagi meminati surat khabar yang dicetak, sebaliknya cukup memerhati perkembangan seantero dunia di hujung jari sahaja.

Paling terbaharu, sahabat ini berkongsi pengalaman bagaimana dunia fotografi turut mencair dalam dunia pembaharuan.

Artikel Berkaitan:

Katanya kini jurugambar tidak perlu berasak-asak untuk mengambil gambar Perdana Menteri kerana sudah ada peralatan moden seumpama drone yang boleh membantu mereka mengambil gambar dalam keadaan santai.

Cerita sahabat lama ini membuatkan penulis rasa terpempan. Berbeza dengan dunia kewartawanan yang banyak berubah seiring perubahan semasa, penulis merasa kerdil sekali apabila memikirkan perkembangan teknologi kejuruteraan di Malaysia.

Malaysia berikrar untuk menguasai Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) namun apa yang berlaku di peringkat akar umbi ialah penggunaan teknologi, peralatan dan ilmu kejuruteraan di Malaysia masih di takuk lama.

Penulis melihat negara Eropah, Amerika Syarikat, China, Korea dan Jepun telah mula mengaplikasikan teknologi IR 4.0 sejak lima tahun lalu.

Mereka melaksana kegiatan penyelidikan dan pembangunan teknologi serta ilmu kejuruteraan berkaitan dengan pelaksanaan industri IR 4.0 dengan pelaburan berjuta dolar antara 10 dan 15 tahun lalu.

Mereka seakan memahami aspirasi teknologi harus diiringi rasa mahu menjarakkan diri dengan yang lain. Dalam erti kata lain, dunia teknologi harus mengalami pemodenan termasuk penggunaan peralatan dan amalan pekerjaan.

ALLAH SWT telah pun memberi peringatan kepada manusia dalam hal ini. Menerusi Surah Ali-‘Imran [3:190-191] ALLAH bercerita tentang rahsia ini:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”

Sebenarnya dunia teknologi pernah menjadi permainan saintis Islam. Al-Khawarizmi atau nama sebenarnya Muhammad bin Musa ialah seorang ahli matematik, astronomi, astrologi dan geografi yang berasal dari Iran. Lahir pada 780 Masihi, anak kelahiran Khiva, Uzbekistan itu meninggal pada 850 di Baghdad, Iraq.

Sepanjang hidupnya, Al-Khawarizmi mengabadikan dunia kepada nombor, huruf dan persamaan matematik.

Beliau membahaskan penyelesaian sistematik daripada persamaan ‘linear’ dan quadratik.

Pengetahuan dan kemahiran beliau bukan sahaja meliputi bidang syariat, tetapi juga bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan dan kimia.

Al-Biruni menguasai ilmu astronomi, geometrik, fizik, kimia, biologi dan farmakologi. Nama sebenarnya ialah Abu Al-Raihan Muhammad Ahmad.

Beliau seorang saintis ensiklopedia abad ke-9 yang dilahirkan pada 973. Beliau mencipta teori trigonometri digunakan dalam ilmu matematik. Ia adalah pencapaian tertinggi Biruni dalam bidang matematik.

Trigonometri ialah cabang ilmu matematik yang membahaskan tentang sudut segi tiga. Biruni dikenal sebagai ilmu matematik pertama di dunia yang membangunkan dasar trigonometri yang diguna pakai sehingga sekarang.

Persoalannya sekarang kenapa saintis Islam khususnya di Malaysia tidak pernah lagi dilahirkan.

Paling kritikal tatkala negara utama dalam era IR 4.0 sudah pun melaksanakan sembilan ‘rukun’ teknologi, Malaysia masih lagi ketinggalan menggunakan peralatan ketinggalan zaman.

Ekonomi global dalam era IR 4.0 ditakrifkan sebagai perkembangan teknologi ke arah yang berupaya mengubah cara dan asas kehidupan manusia di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Semakin banyak penghasilan teknologi menghubungkan dunia digital dengan fizikal dan menghasilkan inovasi baru Artificial Intelligent (AI) seperti kereta pandu sendiri, mesin pencetak tiga dimensi, kilang pengeluar maya dan pelbagai lagi.

Sekiranya Malaysia ingin menjadi Harimau Asia dalam era IR 4.0, kerajaan harus mula memperuntuk geran penyelidikan yang besar kepada para saintis dan jurutera untuk membangunkan pelbagai teori serta produk atau sistem yang sangat diperlukan dalam melaksanakan sembilan ‘rukun’ teknologi IR 4.0.

Sembilan 'rukun' tersebut ialah Autonomous Robots (AR), Simulation & Reality Application (SRA), Horizontal and Vertical System Integration (HVSI), Industry Internet of Things (IIoT), Cyber Security (CS), Cloud (C), Additive Manufacturing (AM), Augmented Reality (ARe), Big Data and Analytics (BDA) yang dimesrakan dalam rantaian keberkesanan AI.

Generasi muda Malaysia perlu dibekalkan dengan state of the art knowledge & experience compared to others untuk sentiasa mampu memacu dan mengurus masyarakat.

Kecerdasan manusia yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengurusan tinggi akan terus diuji keupayaan untuk membangun, menilai, menganalisis dan mempertimbangkan risiko bagi menguasai teknologi IR 4.0, tidak hanya sebagai ‘pengguna teknologi’ dan bersikap ‘tunggu dan lihat’.

ALLAH memberi peringatan kepada manusia supaya belajar dan membangunkan negara dan masyarakat sebagaimana dalam Surah Al-An’aam [6:46] bermaksud:

“Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika ALLAH mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hati mu, siapakah tuhan selain ALLAH yang kuasa mengembalikannya kepadamu? Perhatikanlah, bagaimana kami berkali-kali memperlihatkan tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling (juga).”

Oleh itu, masyarakat sekarang perlu mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi dan kejuruteraan berkaitan dengan pelaksanaan IR 4.0 secara ekosistem untuk memacu industri serta menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang dan mendatang.

* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!