Cabaran Zii Jia kandas di pusingan ketiga
[KEMAS KINI] HASRAT jaguh perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh di Kejohanan Badminton Dunia tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain sensasi China, Zhao Jun Peng di pusingan ketiga, pada Khamis.
Dalam aksi selama satu jam lima minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Khamis, Zii Jia yang juga pilihan kelima kejohanan tewas 19-21, 21-11, 19-21 kepada pemain nombor 23 dunia itu.
Set pertama menyaksikan Zii Jia yang juga pemain ranking kelima dunia ketika ini bergelut bagi menyaingi ketangkasan Jun Peng hingga tewas 19-21.
Bagaimanapun, beliau mempamerkan kebangkitan pada set kedua dengan memperkemaskan permainannya sebelum berjaya menewaskan Jun Peng, 21-11 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kedua-dua pemain kemudiannya dilihat bertarung sengit pada set penentuan apabila saling berkejaran mata bagi menamatkan perlawanan.
Namun, kesilapan demi kesilapan dilakukan Zii Jia menyaksikan Jun Peng mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 19-21 bagi berdepan pemain India, HS Prannoy yang menundukkan rakan sepasukannya, Lakshya Sen, 17-21, 21-16, 21-17.
"Saya akan cuba supaya lebih tenang dan menstabilkan lagi prestasi saya untuk kejohanan seterusnya, " kata Zii Jia yang mengakui banyak melakukan kesilapan dalam perlawanan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!