Detik 'apokalips' Christchurch
PADA November 2018, saya pernah menulis mengenai Jacinda Kate Laurell Ardern. Ardern berusia 39 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun. Beliau merupakan Perdana Menteri ke-40 New Zealand dan termuda di dunia.
Analisis yang saya tulis itu menyentuh mengenai gelombang Jacinda-mania, karakternya, cabaran dan cita-cita politiknya termasuk sisi sebagai seorang ibu. Saya percaya, ketika itu, tidak ramai yang berminat mengetahui tentang Ardern. Mereka hanya menyelak halaman tersebut tanpa mempedulikan penulisan editorial itu.
Namun demikian, pada tanggal 15 Mac lalu, segalanya berubah. Kepopularan wanita itu disebut media antarabangsa melebihi daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Sekelip mata, Ardern menjadi pusat perhatian dunia. Sifat manusiawi yang ditonjolkannya ketika berdepan dengan pembunuhan 50 umat Islam angkara pengganas di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch telah menjadi bualan paling hangat.
Pada saat parameter kerisauan masyarakat New Zealand meningkat, Ardern, seorang bukan beragama Islam, dengan beraninya mengutuk pelaku keganasan yang berasal dari Australia dan berfahaman neo-nazi itu.
Negara yang berusia 150 tahun itu buat pertama kalinya diperdengarkan petikan Surah al-Baqarah pada pembukaan persidangan Parlimennya. Ardern juga mengejutkan ramai apabila mengungkapkan Assalammualaikum. Pada Jumaat, 22 Mac lalu, beliau membenarkan seruan azan disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen dan radio bagi memperingati mangsa. Terkini, satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini.
Pemerhati juga menyifatkan, selendang dan bahasa tubuhnya mendengar luahan pilu, wajah sebak ketika mendengar khutbah disampaikan Imam Gamal Fouda dan memeluk waris mangsa adalah jujur dan tidak dibuat-buat. Ada yang menulis, Ardern lebih mengerti tentang Islam.
Jangan cepat melatah dan skeptikal dengan hujah-hujah yang dihuraikan itu. Perkara pertama yang kita perlu fahami, New Zealand merupakan sebuah negara yang dihuni 4.79 juta rakyat. 55 peratusnya ialah penganut Kristian, 12.6 peratus (Roman Katolik) dan hanya 1.2 peratus Islam (rata-ratanya merupakan imigran dari India, Syria, Pakistan, Afrika, Fiji, Palestin dan Iraq). Di Christchurch sendiri ada lebih kurang 3,000 orang muslim sahaja.
Justeru, apabila Ardern membenarkan sesuatu yang disifatkan sesetengah pihak 'mungkin tidak akan berlaku di New Zealand' (merujuk kepada pendengaran ayat suci dan ungkapan salam), ia adalah sesuatu luar biasa. Bukankah ia melambangkan solidariti dan akhlak mulia daripada seorang yang bukan Islam? Bukankah ia memperlihatkan sisi pemimpin yang mempunyai toleransi dan memiliki sikap menghormati kepada anutan setiap warganya? Tanya diri kita sendiri, adakah kita setolerannya?
Penghormatan dunia
Dalam hal ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi pandangannya tentang Ardern.
Katanya: "Beliau (Jacinda) tanpa sikap apologetik telah menamakan tragedi itu sebagai satu tindakan pengganas.
"Beliau juga telah melawat komuniti Muslim dan imigran New Zealand sambil memakai hijab dan berpakaian serba hitam sebagai tanda hormat dan sokongan moral kepada mereka. Beliau juga menyeru agar rakyatnya bersatu menghadapi tragedi ini."
Hal itu sekali gus menunjukkan setiap ujian yang ALLAH turunkan, pasti ALLAH akan bukakan pintu bantuan dan rahmat, kata agamawan itu. Firman ALLAH SWT: "Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran itu akan disertai dengan kemudahan." (Surah al-Syah, ayat 6).
Reaksi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan juga menarik perhatian. Kepada Washington Post, beliau menyeru kepada seluruh pemimpin Barat untuk belajar daripada keberanian, kepimpinan dan ketulusan Ardern menangani tragedi pembunuhan yang menyasarkan umat Islam itu.
Selain tokoh pembela Islam itu, Perdana Menteri Emeriyah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum telah memuat naik imej Jacinda yang dihalakan ke bangunan ikonik negara itu, Burj Khalifah melalui laman Twitternya.
"Terima kasih PM@jacindaardern dan New Zealand untuk keikhlasan sokongan menyentuh hati 1.5 bilion umat Islam selepas serangan pengganas yang mengejutkan."
Namun, bagi Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, beliau berpendapat: "Apa yang dia (Ardern) lakukan adalah kerana peranannya sebagai orang politik (pemimpin) yang bertindak mengikut suasana supaya tiada clash (serangan balas) yang lebih besar. Mahu tahu dia ikhlas atau sebaliknya, kena lihat apa tindakan susulannya dan bagaimana dia mengatur masyarakat di negaranya kembali," katanya kepada Sinar Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!