Polis belum rakam keterangan lelaki buat kecoh di mahkamah

Polis belum mengambil keterangan lelaki yang membuat ucapan dengan suara lantang dan kuat di pekarangan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis. Gambar kecil: Beh Eng Lai
Polis belum mengambil keterangan lelaki yang membuat ucapan dengan suara lantang dan kuat di pekarangan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis. Gambar kecil: Beh Eng Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis belum merakam keterangan seorang guru disyaki mempunyai masalah mental yang membuat kecoh di pekarangan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, lelaki berkenaan hadir untuk mendengar prosiding perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak di aras empat mahkamah tersebut.

"Petugas tidak membenarkan lelaki berkenaan memasuki kamar mahkamah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut dan mengarahkannya untuk beredar secara baik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Eng Lai berkata, apabila sampai di pekarangan mahkamah, lelaki tersebut bertindak membuat ucapan dengan suara lantang dan kuat ke arah media yang membuat liputan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, suspek kemudian diarahkan oleh pihak polis untuk beredar supaya tidak menggangu ketenteraman awam.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan pekarangan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berlaku kekecohan apabila seorang lelaki membuat bising di hadapan pengamal media.

Artikel Berkaitan:

Lelaki tersebut dibawa keluar pihak polis selepas lima minit membuat bising di lobi kompleks mahkamah itu.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!