Ribut landa hari pertama Festival Kelantan 2022

Keadaan khemah peniaga dan barangan jualan yang terbalik akibat dipukul ribut.
Keadaan khemah peniaga dan barangan jualan yang terbalik akibat dipukul ribut.
A
A
A

KOTA BHARU - Ribut melanda hari pertama Festival Kelantan 2022 yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Khamis.

Kejadian jam 8 malam itu turut memusnahkan tiga khemah peniaga melibatkan dua khemah pakaian dan satu makanan yang menyebabkan kerugian keseluruhan lebih RM60,000.

Seorang peniaga, Nurul Shahira Shukry, 30, berkata, ribut melanda ketika dia sedang menyiapkan wafer pelanggannya di tapak khemah yang terletak di pekarangan stadium itu.

“Ribut pertama yang datang menyebabkan khemah berkeluasan 6x6 meter persegi bergoyang sebelum disusuli ribut kedua yang membawa sekali pasir serta habuk menghempas khemah dan barangan perniagaan hingga musnah.

“Kami dan pelanggan kelam-kabut lari menyelamatkan diri ke bangunan berhampiran kerana bimbang tercedera,” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Menurut Nurul Shahira, ribut berlaku dalam anggaran tempoh selama 10 minit sebelum diikuti hujan lebat dan air bertakung di tapak jualan.

“Barangan jualan kami seperti lokcing dan tiga air balang jatuh manakala dapur wafer terbalik ke dalam air hujan yang bertakung.

“Dianggarkan kerugian saya sekitar RM10,000 termasuk bekalan telur dan tepung wafer rosak. Ini kerana, hari ini baru hari pertama berniaga dan sepatutnya bekalan berniaga itu untuk 10 hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri ketika ribut berlaku.
Orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri ketika ribut berlaku.

Sementara itu, seorang peniaga jersi, Ahmad Syazwan Aznee, 35, berkata, kejadian ribut berkenaan menyebabkan kerosakan barangan jualannya yang menyebabkan dia kerugian hampir RM30,000.

“Semua jersi basah akibat terjatuh dan terkena air hujan selain ada yang terkoyak terkena besi khemah yang terbalik.

“Saya membersihkan baju-baju di kedai dobi layan diri dan hari ini (Jumaat) saya lelong semua jersi itu di tapak niaga di Medan Ilmu,” katanya.

Menurut Ahmad Syazwan, bayinya yang berusia 51 hari hampir tercedera kerana berada di bawah khemah ketika ribut berlaku sebelum diselamatkan oleh anak sulungnya yang berusia 10 tahun.

“Seorang lagi peniaga baju kanak-kanak berhampiran khemah saya juga mengalami kerugian lebih RM20,000 akibat baju basah dan terkena minyak masak yang tumpah dari khemah bersebelahannya,” katanya yang menyewa tapak perniagaan itu pada kadar RM2,500 untuk 10 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!