Akibat panik, penjawat awam rugi RM429,000 ditipu Macau Scam
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, wanita berusia 50 tahun itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari pejabat Pos Malaysia Berhad.
"Mangsa diberitahu bahawa terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad juruwang automatik (ATM) yang didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, mangsa yang menafikan hal berkenaan bagaimanapun diarahkan suspek untuk membuat laporan polis menerusi panggilan telefon yang disambung ke Balai Polis Sabah.
"Selepas panggilan tersebut disambungkan, mangsa terkejut apabila diberitahu bahawa nama dan nombor kad pengenalannya terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan mangsa diminta untuk membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.
Beliau berkata, wanita itu yang takut kerana diugut akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan kononnya dilakukan mangsa, telah percaya dengan dakwaan terbabit dan membuat 10 kali transaksi bayaran berjumlah RM429,000 ke beberapa akaun yang diberikan.
Ahmad Mohsin berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Rabu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhat-hati dan jangan mudah panik serta percaya apabila menerima panggilan sedemikian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!