'Rakyat tidak lupa 'sejarah' dilakar PH' - Asyraf Wajdi
SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa kononnya mereka yang berjaya mengembalikan sistem keadilan atau rule of law dalam negara.
Tegasnya, rakyat tidak sesekali lupa 'sejarah' yang dilakar parti pembangkang itu sepanjang 22 bulan memerintah negara sebelum ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat, Asyraf Wajdi turut menyenaraikan 14 tindakan yang bertentangan dengan 'rule of law' dilakukan PH ketika menjadi kerajaan antaranya menukar Peguam Negara dengan melantik Peguam DAP, Tommy Thomas dan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang waktu itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Hari ini ramai pemimpin PH mendabik dada kononnya merekalah yang berjaya mengembalikan sistem keadilan dan rule of law dalam negara.
"Sebaliknya, rakyat pasti tidak lupa bagaimana hanya dalam tempoh 22 bulan memerintah, PH mengeksploitasi kuasa untuk memanipulasi sistem keadilan dan prinsip rule of law," katanya.
Tambahnya, ketika menjadi kerajaan, PH turut bertindak menarik tuduhan dikenakan terhadap beberapa pemimpin parti itu yang secara jelas bertentangan dengan dakwaan mereka berusaha menegakkan keadilan.
Jelasnya, akibat tindakan yang diambil oleh kerajaan pada ketika itu juga menyaksikan pemimpin-pemimpin ini akhirnya terlepas bebas dan tidak boleh didakwa semula atas prinsip 'double jeopardy'.
"Tindak-tanduk pemanipulasian kuasa pada zaman PH ini, akhirnya merosakkan semula sistem keadilan yang selama 14 tahun sebelumnya telah dibaiki oleh kerajaan kita.
"Maka, janganlah PH hari ini cuba memanipulasi pemikiran awam pula kononnya merekalah juara. Sedangkan rakyat amat tahu merekalah perosaknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!