[VIDEO] Lambaian sayu Rosmah kepada Najib
KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor melambai ke arah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam yang membawa suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas selesai perbicaraan atas tuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.
Rosmah yang mengenakan baju kurung berwarna emas sebelum itu dilihat hadir kira-kira jam 9.20 pagi bagi mengikuti perbicaraan kes Najib.
Pada jam 11.55 pagi, Rosmah yang diiringi beberapa individu dengan kawalan pihak polis keluar dari mahkamah menuju ke hadapan bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraan selesai.
Beberapa minit kemudian, motosikal dan kereta polis serta kenderaan penjara mengiringi Najib yang menaiki SUV warna hitam untuk kembali ke Penjara Kajang.
Sebaik SUV itu menghampiri, Rosmah dan beberapa individu yang menanti kira-kira lima minit kemudian melambai ke arah kenderaan itu dengan wajah kesayuan.
Di seberang jalan pula, kelihatan beberapa penyokong melaungkan nama "Bossku" berulang kali sehinggalah konvoi tersebut keluar meninggalkan bangunan mahkamah.
Rosmah kemudian dilihat meninggalkan kompleks mahkamah dengan menaiki Proton Perdana warna hitam selepas kenderaan membawa Najib tidak lagi kelihatan.
Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!