Imigresen gempur Pasar Borong Selayang

A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen menggempur Pasar Borong Selayang, awal pagi tadi menerusi Ops Bersepadu yang memfokuskan warga asing yang menjalankan perniagaan haram.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi kira-kira jam 5 pagi itu telah menjalankan pemeriksaan terhadap 150 orang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan 107 warga asing termasuk 79 daripada mereka yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, India dan Bangladesh.

"Operasi pagi ini bukan sahaja memfokuskan warga asing yang berniaga di pasar-pasar borong, tetapi tindakan juga dibuat terhadap majikan yang menggajikan warga asing," katanya kepada pemberita selepas operasi di Pasar Borong Selayang, tadi.

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh 1 Januari hingga kelmarin, Imigresen melaksanakan 1,094 operasi Ops Jaja dan Ops Belanja di sekitar pasar borong, pasar malam dan premis-premis perniagaan seluruh negara.

Seramai 930 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap.

Katanya, masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukanlah isu baru, namun ramai tidak menyedari golongan itu kini sudah mula menguasai kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka bukan sahaja jadi pekerja, malah ada kelompok mereka sudah bergelar tauke dengan menyewa lot daripada peniaga tempatan yang mengalibabakan tapak dan lesen perniagaan masing-masing," katanya.

Justeru, selain pelaksaan operasi, Imigresen turut menempatkan pegawainya di kawasan pasar borong untuk tujuan pemantauan secara berkala.

"Imigresen akan terus komited menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menangani isu-isu berkaitan PATI," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!