1,000 peserta jalan kaki sambil kibar Jalur Gemilang
ALOR SETAR - Kira-kira 1,000 peserta menjayakan program Fun Walk Semarak Uniti Keluarga Malaysia dengan berjalan beramai-ramai sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang sejauh tiga kilometer (km).
Pengarah Perpaduan Kedah, Ahmad Puat Junus berkata, acara diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini serta bagi menyatakan rasa cinta pada negara, selain menyokong untuk mencapai aspirasi Keluarga Malaysia.
“Melalui pelbagai aktiviti diadakan termasuklah jalan kaki, kita juga berharap dapat menterjemah semangat perpaduan masyarakat berbilang bangsa.
“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan mengalakkan melibatkan 1,000 peserta berbanding jumlah sasaran awal iaitu 500 peserta sahaja,”katanya.
Beliau ditemui Sinar Harian pada program Fun Walk Semarak Uniti Keluarga Malaysia sempena Bulan Kebangsaan 2022 di Dataran Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pegawai Perpaduan Kota Setar/Padang Terap/Pokok Sena, Mohamed Zaizulman Zainal Abidin.
Katanya, program diadakan julung-julung kalinya selepas dua tahun tidak dapat diadakan akibat Covid-19 juga mendapat sokongan pelbagai agensi termasuklah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.
Ahmad Puat berkata, beliau berharap program seumpama ini dapat diadakan secara berterusan.
Sebelum itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail melakukan sesi ‘flag off’ untuk pelepasan peserta.
Fun Walk Semarak Uniti Keluarga Malaysia dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuklah pemeriksaan dan saringan kesihatan, derma darah,pameran agensi kerajaan dan sesi senam sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!