'Nama, ' Manusia Kalkulator' teruja sertai Asia's Got Talent

Nama, Manusia Kalkulator mewakili negara dalam Asia's Got Talent.
Nama, Manusia Kalkulator mewakili negara dalam Asia's Got Talent.
A
A
A

SINGAPURA - Kedua-dua wakil dari Malaysia yang beraksi di final Asia’s Got Talent pada Khamis di sini tidak akan menghentikan langkah mereka untuk mencabar keupayaan sendiri dengan bertanding di lain-lain pertandingan bakat antarabangsa.

Meluahkan perasaan lega mereka selepas memberikan persembahan terbaik, sebuah kumpulan wanita, “NAMA” dan manusia kalkulator, Yaashwin Sarawanan akan menimbangkan untuk menyertai pertandingan “Got Talent” di lain-lain negara terutamanya Britain, negara kelahiran pertunjukan bakat itu, sekiranya berpeluang.

Mereka mendapat inspirasi daripada The Sacred Riana, pemenang Asia’s Got Talent musim kedua yang mencuba nasib di America’s Got Talent tahun lepas.

Ditanya mengenai peluang mereka memenangi musim ketiga pertandingan itu, kedua-dua wakil Malaysia itu berkata biarlah nasib mereka ditentukan oleh pengundi.

“Untuk berada di final ini sudah menjadikan saya seorang pemenang, kerana saya bergantung sepenuhnya kepada pengundi,” kata Yaashwin kepada Bernama ketika ditemui selepas pertandingan akhir itu yang berlangsung di Marina Bay Sands di sini.

Selaku satu daripada tiga persembahan dipilih menerusi Pilihan Juri ke final, seorang daripada anggota NAMA, Fazrina berkata:”Kami sudah melakukan semuanya dan akan menerima apa sahaja keputusan

Seorang daripada juri pertandingan itu, David Foster mengulas bahawa persembahan Yaashwin adalah “sangat mengagumkan”.

“Anda adalah seorang anak muda yang bijak. Anda patut melakukan sesuatu yang istimewa dengan hidup anda,” kata penerbit dan ahli muzik dari Kanada itu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi juri, Anggun Cipta Sasmi, seorang penyanyi antarabangsa berkata: “Anda tidak bagus (tetapi) anda hampir mencapai tahap seorang genius.”

Penyanyi rap berbangsa Korea kelahiran Amerika Syarikat, Jay Park pula mengulas NAMA: “ Jangan biar sesiapa pun meletakkan anda di dalam kotak. Runtuhkan halangan dan jangan hadkan diri anda.”

Foster yang secara terbuka mengakui peserta wanita berhijab itu sebagai kegemarannya berkata: “Adalah sungguh hebat dan penuh pengharapan melihat keempat-empat kamu di atas pentas. Dalam 2019 kami mahu lebih anak-anak untuk masa hadapan ... anda mungkin masa depan untuk keamanan.”

Tujuh lagi peserta final terdiri daripada Siti Saniyah dari Indonesia; tiga dari Taiwan, Maniac Family, Eric Chien dan Yang Shih Hao dan tiga dari Filipina, Shadow Ace, Junior Good Vibes dan Power Duo.

Kesemua sembilan persembahan akan terbuka kepada undian umum dan hanya satu persembahan akan dimahkotakan sebagai juara Asia’s Got Talent dan menerima hadiah utama AS$100,000.

Undian terbuka mulai hari ini sehingga 10 April, 11.59 malam dan Asia’s Got Talent Musim 3 akan mencapai kemuncaknya Khamis depan, 11 April pada pukul 8.30 malam di saluran AXN dengan keputusan pertandingan akan diumumkan.

Asia’s Got Talent ialah adaptasi ke-67 format “Punyai Bakat” pecah Rekod-Dunia-Guiness, yang kini disiarkan di 186 negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!