Merdeka: 18 penerjun buat 65 terjunan di Kuantan 188
KUANTAN - Seramai 18 penerjun akan melakukan terjunan base dari aras ketinggian 104 meter di menara Kuantan 188 sempena meraikan ambang merdeka pada 30 Ogos ini.
Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, sebanyak 65 terjunan akan dilakukan bergilir- gilir oleh pemerjun dari Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia termasuk tempatan.
Menurutnya, terjunan itu bermula pada 9.30 malam hingga 12 tengah malam.
"Penerjun akan membawa bendera Kuantan 188, bendera Pahang dan terakhir Jalur Gemilang semasa melakukan terjunan sebagai simbolik 65 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.
"Lebih menarik, penerjun tertua di Malaysia, Jamaluddin Ismail, 68, yang berasal dari Mentakab akan turut serta membuat terjunan," katanya ketika sidang akhbar di Kuantan 188, pada Jumaat.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker merasmikan Kuantan 188 International Extreme Challenge (KIEC) dan Pesta Kuantan 188.
Hadir sama Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.
Sementara itu, mengenai KIEC Zulkifli berkata, program itu berlangsung pada 27 Ogos hingga 9 September depan dengan sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta kerajaan Pahang.
"Kuantan 188 berbangga kerana menjadi hos kepada belia tempatan untuk mengadakan acara dan aktiviti sukan.
"Selain terjunan base, terdapat pelbagai aktiviti dan sukan lain yang boleh pengunjung sertai seperti paintball, drop zone, aerobik, senaman kick boxing dan zone bar hammock
"Aktiviti santai untuk kanak-kanak juga diadakan seperti zipline, lukisan muka, aktiviti kraf dan lukisan karikatur," katanya.
Menyentuh mengenai Pesta Kuantan 188 yang akan diadakan pada 3 September depan pula, Zulkifli berkata, ia diadakan bagi meraikan sambutan Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tambah beliau, satu konsert istimewa diadakan bersempena pesta tersebut yang membariskan seramai tujuh artis.
"Barisan artis bakal memeriahkan konsert ini adalah penyanyi dan rap terkenal, Roxanne Ng, Raihan, Ara Johari, Sandhy Sondoro, Aina Abdul, Joe Flizzow dan penampilan khas penyanyi, Man Bai.
"Tiket konsert akan dijual melalui Go Tifi, iaitu sebuah platform berteknologi AI yang membolehkan penggembara untuk merancang perjalanan mereka di seluruh Malaysia dengan membeli tiket acara, baucer restoran dan pelbagai lagi.
"Terdapat empat kategori tiket iaitu, VIP (RM188); CAT 1 (RM138); CAT 2 (RM88) dan terakhir CAT 3 (RM58). Bagi pemegang tiket VIP, mereka diberikan pas istimewa untuk menghadiri sesi latihan terbuka yang akan diadakan sehari sebelum konsert berlangsung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!