Bekas CFO 1MDB sembunyikan dokumen syarikat: Saksi
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO) menyembunyikan dokumen syarikat itu daripada diserahkan kepada Jabatan Audit Negara (JAN).
Saksi pendakwaan ke-15, Arul Kanda Kandasamy berkata demikian ketika prosiding meminda laporan audit 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menjawab soalan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi berusia 45 tahun itu berkata, 1MDB tidak dapat menyediakan dokumen yang diminta kerana pejabat syarikat ketika itu diserbu oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM).
Susulan itu, beliau berkata, banyak dokumen serta fail termasuk cakera keras dirampas.
“Jadi, kami tidak dapat akses kepada maklumat yang diminta dan ada pihak dalam 1MDB secara aktif menyembunyikan maklumat berkenaan,” katanya.
Disoal Muhammad Shafee mengenai identiti individu yang menyembunyikan dokumen itu, Arul Kanda berkata, ‘Azmi Tahir’.
Semasa prosiding, peguam utama bekas Perdana Menteri itu menyentuh isu kekecewaan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (ketika kejadian) terhadap 1MDB kerana tidak memberi kerjasama apabila JAN meminta dokumen bagi penyediaan laporan audit.
Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 2 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!