KPWKM sedia taska bagi tingkat pasaran buruh wanita

Siti Zailah (tiga dari kanan) menunjukkan robot yang dicipta oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas.
Siti Zailah (tiga dari kanan) menunjukkan robot yang dicipta oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan sistem sokongan kepada wanita menerusi penyediaan taska bagi membantu meningkatkan penyertaan golongan itu dalam pasaran buruh.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sistem sokongan yang dilakukan itu bagi memberi kemudahan kepada wanita bergelar ibu untuk menempatkan anak-anak mereka ketika keluar bekerja.

Katanya, usaha juga antara lain dilakukan melalui penganjuran pelbagai program bimbingan bagi memperkasakan wanita.

“Di institusi pengajian tinggi ada hampir 70 peratus wanita, tetapi penglibatan wanita di pasaran buruh masih rendah.

“Saya memahami keadaan yang berlaku dan sebab itulah kementerian berusaha membantu memberi sistem sokongan kepada pekerja-pekerja wanita termasuk menyediakan taska dan khusus-khusus bimbingan bagi mengimbangi jumlah kedua-dua gander dalam pasaran buruh,” katanya ketika ditemui pada Program Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Sempena Festival Pasir Mas Jupo Mato Keluarga Malaysia di Bandar Baru Pasir Mas, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Kata Siti Zailah, kementerian itu menyasarkan memperkasakan wanita yang bukan semata-mata mengharapkan makan gaji sahaja tetapi boleh bekerja sendiri termasuk berniaga.

“Kerajaan juga mengalu-alukan semua pelbagai pihak untuk bersama dalam membantu kementerian untuk membangunkan wanita Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian menitikberatkan isu kebajikan wanita dan sentiasa memberi perhatian termasuk melakukan kerjasama dengan puluhan agensi di kementerian lain kerana semua pihak mesti terlibat,” katanya.

Ketika mengulas berkaitan kadar gaji lebih tinggi diterima oleh pekerja lelaki melibatkan jawatan atau tahap pekerjaan yang sama, beliau berkata, perkara itu satu diskriminasi yang tidak patut berlaku.

“Kita sudah lama menetapkan sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor pentadbiran dan bagi sektor pendidikan kita dah melebihi target.

“Kepimpinan dan penglibatan wanita sangat baik bukan sahaja dalam sektor pekerjaan malah mereka mampu bersaing dengan hebat dalam politik,” katanya.

Beliau berkata, golongan itu juga boleh membuat laporan kepada kementerian jika berlaku apa-apa sahaja permasalahan berkaitan diskriminasi gander.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh di negara ini masih rendah dengan rekod tahun lalu adalah 55.5 peratus sahaja, berbanding populasi perempuan pada 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!