SPRM akan panggil individu siasat kes pecah amanah KLFA
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan melibatkan kes isu pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Sumber berkata, serbuan yang dijalankan ke atas pejabat KLFA dan KL City dilakukan susulan daripada laporan diterima mengenai kes pecah amanah membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.
"Dokumen yang diperoleh dari pejabat KLFA minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Tajaan paling besar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diikuti oleh beberapa syarikat di Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM dipercayai akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas persatuan bola sepak itu.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!