Masjid Kariah Paroi Jaya lokasi utama Malaysia #QuranHour di NS
SEREMBAN - Masjid Kariah Paroi Jaya di sini menjadi lokasi utama penganjuran Malaysia #QuranHour yang diadakan di Negeri Sembilan sempena Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini.
Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 penyertaan dengan 1,000 peserta yang terlibat di lokasi utama.
Menurutnya, seperti tahun-tahun sebelumnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjadi rakan sinergi dalam mengimarahkan program berkenaan.
"Ketika fasa pandemik, program-program besar seperti #QuranHour terpaksa dibuat secara sederhana dan semuanya secara dalam talian saja.
"Tapi Alhamdulillah selepas dua tahun tidak dapat mengadakan program ini secara besar-besaran, tahun ini kita bersyukur dapat kembali mengadakannya dengan melibatkan lebih ramai penyertaan antaranya terdiri daripada warga sekolah, Maahad Tahfiz, agensi dan jabatan kerajaan termasuk barisan kepimpinan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan Pengarah JHEAINS, Datuk Zaidi Ramli merupakan tetamu utama program.
Tambahnya, pembacaan al-Quran diketuai oleh empat orang Qari iaitu Radzi Muhiddin, Yusof KamarudinAl Malik Faisal dan Lt (PA) Raja Mohd Kamarularif Raja Ismail.
"Pentadabbur pula ialah Pensyarah Jabatan al- Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS), Syed Mohamad Zainudin Bichk Koyak," kata beliau.
Gharizah berkata, pemilihan Surah Al-Sajdah yang pada program kali ini sangat bertepatan kerana mengandungi formula istimewa dalam membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak
Ujarnya, ia juga selari dengan tema Hari Kebangsaan 2022 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' yang mana formula itu mampu menjadi panduan dan solusi dalam membina sebuah keluarga, organisasi dan negara berbudi serta penyayang yang diredai yang mendapat pengampunan Allah.
"Formulasi ini diharap akan melahirkan mukmin yang tidak sombong, berjiwa besar, berkeperibadian mulia dan memiliki kerangka fikir al-Quran
"Ia sekaligus dapat melahirkan pemimpin yang adil dan taat kepada Allah, sehingga terbentuknya sebuah negara 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'," katanya.
Tambah Gharizah, menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai satu amalan boleh membesarkan jiwa manusia dan jika nilai al-Quran dapat dimasukkan dalam sistem operasi diri, maka setiap tindakan yang diambil akan berasaskan taqwa.
“Program #QuranHour seperti Malaysia QuranHour ini saban tahun diadakan, dengan tema dan surah yang berbeza-beza dan InsyaAllah setiap surah akan meresap ke dalam hati dan roh manusia.
"Dengan ini kita boleh memerdekakan diri daripada kesombongan dan ketaksuban untuk menjadi orang yang bertaqwa sebenar. Maka terbentuklah Negeri dan negara yang 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!