Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, penduduk terpaksa akur

Pemilik rumah teres dipanggil hadir sesi pendengaran kedua yang diadakan selama tiga hari bermula Rabu lalu.
Pemilik rumah teres dipanggil hadir sesi pendengaran kedua yang diadakan selama tiga hari bermula Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru yang sebelum ini cuba mempertahankan tanah mereka daripada diambil pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan itu terpaksa akur dengan desakan undang-undang di bawah Akta Pengambilan (APT) Tanah 1960.

Pada Jumaat, kesemua mereka selesai menghadiri sesi pendengaran kedua yang berlangsung selama tiga hari di Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Wisma JUPEM, di sini.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, beliau kecewa dengan keputusan itu yang dianggap tidak memihak kepada penduduk.

Menurutnya, kadar pampasan diberikan tidak menunjukkan banyak perubahan yang dianggarkan dinaikkan sekitar 15 peratus sahaja.

"Dianggarkan kadar nilai keluasan satu kaki tanah dikira RM500 berbanding RM1,800 harga pasaran. Selain itu, pampasan bangunan turut disekalikan dengan nilaian tanah.

"Kami terpaksa terima tawaran dan perlu mengosongkan rumah sebelum 31 Oktober depan. Rayuan boleh dikemukakan ke mahkamah bagi yang tidak berpuas hari dengan pampasan diberikan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan memaklumkan akan memberikan penjelasan selepas selesai mesyuarat bersama penduduk terlibat.

Sinar Harian difahamkan purata pampasan yang diterima adalah sekitar RM900,000. Ia bergantung kepada keluasan tanah dan kelulusan bangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel Berkaitan:

Proses pengambilan tanah sepatutnya dibuat pada Disember lalu, namun proses itu ditangguhkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bagi memberi ruang perbincangan antara pemaju bersama penduduk yang membantah.

Laporan Sinar Harian berhubung pengambilan tanah bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Laporan Sinar Harian berhubung pengambilan tanah bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

37 pemilik rumah teres tersebut sebelum ini menggesa pewartaan pengambilan tanah terlibat bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dimansuhkan selain meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjelaskan, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru itu sewajarnya diteruskan kerana memenuhi syarat perundangan di bawah APT 1960 dan 89 peratus atau 291 penduduk terlibat telah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!