Jawatankuasa khas kaji kemungkinan krisis ekonomi
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bakal membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kelembapan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor baru-baru ini yang mengarahkan Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Perbendaharaan Negeri Selangor (PWN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor untuk membentuk jawatankuasa berkenaan.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan merangka dan mencadangkan penyelesaian bagi menyerap kesan daripada krisis ekonomi sekiranya ia berlaku pada tahun hadapan.
"Jika kita lihat ada peningkatan inflasi yang tidak terkawal di samping kegiatan ekonomi yang belum cukup rancak untuk menampung inflasi tersebut, ini mungkin disebabkan oleh 'helicopter money' atau cetakan wang yang dibuat ketika krisis.
"Jadi kita cuba melibat kemungkinan dan langkah yang dibuat oleh kerajaan Selangor apabila tiba masanya atau sebelum (kelembapan ekonomi berlaku)," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor boleh membantu rakyat negeri berkenaan yang terkesan akibat krisis ekonomi seperti menyediakan pakej-pakej rangsangan dan bakul makanan.
Namun katanya, ia hanya mampu menyerap sedikit impak daripada krisis ekonomi dan bersifat sementara.
"Jadi apa yang kita buat ialah bagaimana langkah yang berkesan untuk menjana ekonomi.
"Sebagai contoh, ekonomi industri pengeluaran terganggu, tapi sektor pengangkutan bergerak lebih pantas dan memberikan sumbangan kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Kita bukan nak halang mereka daripada berbelanja, tapi kita perlu berfikir dengan bijak dalam tempoh terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!