LCS: Rafizi hanya rujuk draf laporan audit

Abd Latiff
Abd Latiff
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mendakwa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menggunakan laporan forensik yang tidak dapat disahkan kandungannya bagi mengaitkan beliau dengan skandal kapal tempur persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Abd Latiff berkata, dokumen laporan forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd (Alliance) itu merupakan satu draf yang tidak ditandatangani dan tidak dapat disahkan kandungan.

“Rafizi bukan sahaja tidak jujur malah dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar yang ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua saya.

“Walaupun saya telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya. Saya berharap saudara Rafizi bersikap lebih jujur dalam berpolitik.

“Pembohongannya bukan sahaja menipu masyarakat tetapi menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara bila mana penjelasan yang perlu dibuat mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Rafizi mendedahkan dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek LCS dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Dalam pada itu Abd Latiff turut menuntut Rafizi mengemukakan bukti sekiranya Timbalan Presiden PKR itu yakin wanita yang dinyatakan merupakan isteri kedua seperti yang didakwanya.

“Sebagai anggota kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikanlah menabur fitnah.

Artikel Berkaitan:

“Andaikata saudara Rafizi betul betul yakin bahawa Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!